Penyerahan Tapak RASCOM Percepat Agenda Pembangunan SPS di Ngemah
SIBU: Keputusan Kerajaan Persekutuan menyerahkan hak milik tapak Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) kepada Kerajaan Sarawak akan mempercepat pelaksanaan pembangunan di kawasan Skim Penempatan Semula (SPS) RASCOM, sekali gus membuka ruang kepada penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas yang lebih menyeluruh untuk penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata keputusan yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri itu membolehkan Kerajaan Sarawak merancang dan melaksanakan pembangunan secara lebih cekap, tersusun serta berteraskan keperluan rakyat.
Menurut beliau, tiga daripada empat kawasan SPS RASCOM yang terlibat iaitu SPS RASCOM Nanga Jagau, SPS RASCOM Nanga Ngungun dan SPS RASCOM Nanga Tada terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah.
Beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu perkembangan penting yang mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Keputusan ini merupakan satu langkah yang amat bermakna dan bersejarah, bukan sahaja sebagai manifestasi semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, malah sebagai bukti bahawa aspirasi rakyat Sarawak terus diberi perhatian selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Anyi berkata, penyerahan hak milik tapak tersebut membolehkan pelbagai projek pembangunan dirancang dengan lebih berkesan, khususnya melibatkan penyediaan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, telekomunikasi, kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan dan kemudahan awam.
Beliau berkata, pembangunan yang bakal dilaksanakan dijangka bukan sahaja memperkukuh kemudahan fizikal, malah mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi, pendidikan dan pekerjaan kepada penduduk setempat, sekali gus membolehkan generasi muda menikmati taraf hidup yang lebih baik tanpa perlu meninggalkan kampung halaman.
Anyi turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas keputusan menyerahkan hak milik tapak RASCOM kepada Kerajaan Sarawak serta menghargai komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan hak negeri dan mempercepat pembangunan luar bandar demi kesejahteraan rakyat. -EDISI UKAS