Projek RTP RM200,000 Perkukuh Sistem Saliran Taman Rejang, Atasi Banjir Kilat
SIBU: Projek menaik taraf sistem saliran di Lorong Rejang 6, Taman Rejang bernilai RM200,000 siap dilaksanakan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Fasa II, sekali gus memperkukuh infrastruktur perparitan dan membantu mengurangkan risiko banjir kilat yang sekian lama menjejaskan penduduk.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, projek sepanjang 168 meter itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan menaik taraf sistem saliran secara berperingkat di kawasan perumahan berkenaan yang menggunakan spesifikasi lama dan tidak lagi mampu menampung kapasiti aliran air semasa.
“Kebanyakan sistem saliran di Taman Rejang dibina mengikut spesifikasi lama yang kini tidak lagi mampu menampung keperluan semasa.
“Sebab itu kita menaik taraf sistem saliran belakang rumah secara berperingkat supaya ia lebih berfungsi dan selamat,” katanya ketika meninjau projek tersebut pada Jumaat.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan bukan sahaja meningkatkan kecekapan sistem perparitan, malah mengurangkan risiko banjir kilat serta mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, teratur dan selesa kepada penduduk.
Beliau berkata, usaha menaik taraf sistem saliran di Taman Rejang akan diteruskan secara berfasa dengan projek seterusnya dijadualkan dilaksanakan di Lorong 2 dan Lorong 11 bagi memastikan lebih ramai penduduk menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih berkualiti.
Tambah beliau, pendekatan pelaksanaan secara berperingkat itu diyakini dapat meningkatkan keberkesanan sistem saliran, sekali gus mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih kondusif dan meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Projek tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif RTP yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak bagi memperkukuh infrastruktur asas serta meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan yang bersasar.-EDISI UKAS