Mural Kubu Alice Terus Tarik Perhatian Pengunjung di Simanggang
SIMANGGANG: Lukisan mural yang menghiasi kaki bukit Kubu Alice terus menjadi tarikan utama pengunjung ke Taman Tebingan Sungai Batang Lupar sejak siap dihasilkan pada tahun 2022.
Mural sepanjang 209 meter itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Norazah Awang Sohor, menerusi satu majlis ringkas pada awal September 2022.
Karya berkenaan dihasilkan oleh 10 pelajar institusi pengajian tinggi, terdiri daripada lima pelajar Fakulti Pengajian Seni Kreatif Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Samarahan dan lima pelajar Fakulti Applied and Creative Arts, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), yang diketuai oleh Muhammad Harith Azmi.
Mural tersebut menampilkan pelbagai ikon yang sinonim dengan Sarawak, antaranya burung kenyalang, buaya Bujang Senang, burung merpati, peluncur ombak, paku pakis, ikan bulu serta alunan benak.
Projek berasaskan seni kontemporari dengan penggunaan warna moden itu dilaksanakan di benteng kaki bukit Kubu Alice yang dipilih oleh Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) kerana lokasinya merupakan antara kawasan tumpuan orang ramai di Bandar Simanggang.
Kerja-kerja menghasilkan mural bermula pada 24 Ogos 2022 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 1 September 2022. Walaupun berdepan cuaca yang tidak menentu, para pelajar berjaya menyiapkan karya tersebut mengikut jadual.
Pasukan daripada Fakulti Applied and Creative Arts UNIMAS menggunakan teknik stensilan dalam menghasilkan mural berkenaan, manakala motif-motifnya disiapkan melalui kemahiran lukisan tangan bagi menyerlahkan nilai seni yang unik.
Seorang pengunjung, Joshua Eric, berkata kewujudan mural itu bukan sahaja mencantikkan kawasan kaki bukit Kubu Alice, malah menjadikan Tebingan Sungai Batang Lupar lebih menarik sebagai lokasi riadah dan pelancongan.
“Penghasilan mural ini memberi impak positif kepada kawasan sekitar kerana ia menceriakan landskap bandar dan mewujudkan suasana yang lebih menarik.
“Pada masa sama, ia turut membantu memperkenalkan seni kontemporari kepada masyarakat setempat serta menarik minat generasi muda untuk menghargai dan mempelajari bidang seni,” katanya.-EDISI UKAS