SADONG JAYA: Sebanyak RM885,500 diperuntukkan oleh kerajaan dalam sektor pendidikan, infrastruktur serta kemudahan komuniti di kawasan Parlimen Batang Sadong.
Ahli Parlimennya, Rodiyah Sapiee berkata, penyaluran peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh berdasarkan keperluan rakyat di kawasan Simunjan, Sadong Jaya dan Gedong.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Penyerahan Cek dan Serah Siap Projek bagi kawasan Parlimen P200 Batang Sadong yang melibatkan beberapa lokasi di sekitar Simunjan dan Sadong Jaya, pada Rabu.
Program berkenaan menyaksikan penyerahan empat projek infrastruktur yang telah siap dilaksanakan melibatkan peruntukan keseluruhan RM420,000, selain penyerahan cek kepada penerima bagi projek-projek komuniti dan pendidikan.
Antara projek yang diserahkan ialah kerja naik taraf ruang terbuka berbumbung di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sadong Jaya bernilai RM120,000 melalui peruntukan Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO).
Menurut Rodiyah, kemudahan itu akan menyediakan ruang yang lebih selesa kepada warga emas untuk menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan tanpa terlalu bergantung kepada keadaan cuaca.
Turut diserahkan ialah tiga lagi projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) Kerajaan Sarawak, iaitu pembinaan pondok keselamatan dan ruang menunggu pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Gunong Ngeli bernilai RM100,000, kerja menaik taraf dataran Kampung Selangking (RM150,000) serta pembinaan kawasan parkir kenderaan di Kampung Sungai Buluh (RM50,000).
Selain pembangunan fizikal, lapan cek peruntukan terus atau Outright Grant (OG) berjumlah RM180,500 turut diserahkan kepada wakil masjid, surau dan gereja bagi melaksanakan projek-projek kecil di kawasan masing-masing.
Dalam majlis sama, sebanyak 37 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah di Simunjan, Sadong Jaya dan Gedong menerima peruntukan keseluruhan RM285,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pendidikan, sukan dan kebajikan pelajar.
Enam sekolah menengah masing-masing menerima RM15,000, manakala 31 sekolah rendah menerima agihan berdasarkan jumlah populasi murid bagi memastikan pengagihan dibuat secara lebih adil.
Turut hadir, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad dan Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya Abdullah Sam Yusup. -EDISI UKAS