Penyelarasan Agensi Kunci Percepat Pembangunan Menyeluruh Tanjong Datu
LUNDU: Penyelarasan yang mantap antara semua agensi pelaksana terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak bagi memastikan setiap projek pembangunan di Tanjong Datu dapat dilaksanakan mengikut jadual, memenuhi keperluan rakyat serta memberi impak optimum kepada komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, pembangunan tidak boleh dilaksanakan secara berasingan, sebaliknya memerlukan perancangan menyeluruh serta kerjasama erat antara semua pihak bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang berjalan lancar dan mencapai objektifnya.
Menurut beliau, pelbagai sumber pembiayaan seperti Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Rancangan Malaysia, Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) serta dana pembangunan negeri perlu dimanfaatkan secara strategik agar pelaksanaan projek dapat diselaras dengan lebih berkesan, sekali gus mempercepat penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas kepada penduduk.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Program Randau Pembangunan N3 Tanjong Datu – Zon Sampadi yang berlangsung di Kampung Sampadi, pada Rabu.
Beliau menambah, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan pembangunan asas meliputi bekalan air, jalan raya, utiliti serta kemudahan awam terus dipertingkatkan sebelum memperluaskan agenda pembangunan yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan di Tanjong Datu.
Pendekatan randau pembangunan tersebut turut memperkukuh komunikasi antara pemimpin, pentadbiran daerah dan agensi pelaksana, sekali gus membolehkan isu serta cabaran di peringkat akar umbi dikenal pasti dan ditangani secara lebih bersepadu demi memastikan setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. -EDISI UKAS