Sibu Jadi Tumpuan Peminat RC Powerboat Antarabangsa
SIBU: Sibu menjadi tumpuan peminat sukan bot laju kawalan jauh menerusi penganjuran Sibu International RC Powerboat Race River Challenge 2026 di Tebingan Pulau Li Hua yang menyaksikan penyertaan 687 bot daripada peserta tempatan dan antarabangsa.
Kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula 30 Julai hingga 2 Ogos itu menarik penyertaan peserta dari seluruh Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia serta empat negara iaitu Brunei Darussalam, Thailand, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekali gus mengukuhkan kedudukan Sibu sebagai antara destinasi utama penganjuran sukan RC Powerboat di rantau Asia Tenggara.
Setiausaha Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Sibu (DTTG) merangkap Ketua Sekretariat Sibu International RC Powerboat Race River Challenge 2026, Maria Nadja Jimmy berkata, Brunei mencatat penyertaan antarabangsa terbesar dengan 28 peserta, diikuti Thailand (tiga), Indonesia (dua) dan UAE (dua).
“Kehadiran peserta antarabangsa ini membuktikan bahawa kejohanan ini semakin mendapat pengiktirafan sebagai antara acara RC Powerboat utama di rantau Asia Tenggara,” katanya pada sidang media di Pejabat Residen Bahagian Sibu, Kompleks Islam Sibu, baru-baru ini.
Menurut Maria, sebanyak sembilan kategori dipertandingkan dengan menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM3,000 bagi setiap kategori utama, selain Anugerah Champion of the Best (Piala DTTG Sibu) yang menawarkan hadiah RM1,000 berserta trofi.
Jelasnya lanjut, selain aksi perlumbaan, orang ramai turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sampingan yang disediakan sepanjang penganjuran kejohanan, termasuk pertandingan mewarna dan membuat lakaran, pertandingan menyumpit terbuka, cabutan tiket bertuah serta gerai jualan makanan, minuman dan cenderamata rasmi.
Majlis perasmian rasmi kejohanan dijadual disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong, manakala majlis penutupan dan penyampaian hadiah pada 2 Ogos akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing.
Sibu International RC Powerboat Race River Challenge dianjurkan buat kali ketiga oleh DTTG Sibu selepas kejayaan penganjuran edisi pertama pada 2024 dan edisi kedua pada 2025.
Tahun lalu, kejohanan itu mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan 759 bot kawalan jauh dalam satu acara, sekali gus membuktikan kemampuan Sibu menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa yang mampu menarik penyertaan dan kehadiran pengunjung dari dalam serta luar negara.-EDISI UKAS