Program Sejahtera MADANI Perkasa Pendapatan 55 Keluarga Di Sibu
SIBU: Seramai 55 Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) di zon Sibu menerima peralatan kerja bernilai keseluruhan RM275,000 menerusi Program Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan (Peralatan), sekali gus membuka peluang untuk menjana pendapatan secara lebih mampan.
Bantuan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Sarawak ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa ekonomi rakyat melalui penyediaan aset produktif yang mampu membantu penerima berdikari dan meningkatkan taraf hidup.
Timbalan Pengarah 2 ICU JPM Sarawak, Aziba Rashidi berkata, pelaksanaan program tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang dipimpin Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim, bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara.
Tambahnya, kerajaan bukan sahaja menyalurkan bantuan, malah menyediakan peluang kepada golongan sasar untuk membina kehidupan yang lebih baik melalui peningkatan pendapatan.
“Kerajaan sentiasa prihatin dan komited membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pendekatan yang menyeluruh dan berfokus.
“Sumbangan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menjayakan aspirasi Sejahtera MADANI, selain meringankan beban Ketua Isi Rumah serta memupuk semangat perpaduan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan (Peralatan) di Dewan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS), pada Rabu.
Program berkenaan melibatkan penyerahan pelbagai peralatan mengikut enam kategori utama iaitu jahitan, pencetakan, solekan dan dandanan, bakeri dan pastri, gunting rambut serta motosikal bagi membolehkan penerima memulakan atau mengembangkan perusahaan masing-masing.
Turut hadir ialah Pegawai Pembangunan Zon Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Sibu), ICU JPM Norfitri Amin, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kesejahteraan Rakyat Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak ICU JPM, Hafizuldin Mahmud @ Hamdan serta wakil Pegawai Daerah Sibu, Sylvia Lau Gin Si.-EDISI UKAS