Jambatan Baharu Jalan Ann Hock Permudah Perhubungan, Tingkat Keselamatan Penduduk
SARIKEI: Penduduk di Jalan Ann Hock, Sungai Sebanyak kini menikmati kemudahan perhubungan yang lebih selamat dan selesa selepas sebuah jambatan konkrit baharu siap dibina, sekali gus menggantikan jambatan papan lama yang uzur.
Jambatan sepanjang 36 meter itu dibina dengan kos RM449,000 melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan dan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pembinaan jambatan baharu itu dilaksanakan selepas menerima aduan daripada penduduk mengenai keadaan jambatan lama yang telah rosak dan berisiko kepada pengguna.
Tambahnya, pembinaan jalan raya dan jambatan merupakan antara infrastruktur asas yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan sistem perhubungan, khususnya di kawasan luar bandar.
"Apabila menerima aduan daripada penduduk, saya segera mengemukakan permohonan kepada kerajaan bagi mendapatkan peruntukan untuk membina jambatan baharu demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat,"katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek tersebut bersama pegawai Pejabat RISDA Sarawak pada Rabu.
Dato Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok memberitahu, usaha memperkukuh kemudahan asas akan terus menjadi keutamaan bagi memastikan rakyat luar bandar menikmati pembangunan yang seimbang dan berkualiti.-EDISI UKAS