RC Powerboat semai minat STEM dalam kalangan generasi muda
SIBU: Sukan bot kawalan jauh bukan sekadar medan persaingan, malah mampu menjadi platform berkesan untuk memupuk minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong berkata RC Powerboat menggabungkan pelbagai elemen teknikal seperti kejuruteraan, elektronik dan mekanikal yang mampu mencungkil kreativiti, inovasi serta kemahiran penyelesaian masalah dalam kalangan peserta.
"Sukan ini bukan sekadar menguji kemahiran mengendalikan bot kawalan jauh, malah menggalakkan kreativiti, inovasi dan penguasaan teknologi yang selaras dengan aspirasi Sarawak menuju ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi," katanya ketika merasmikan Sibu International RC Powerboat Race River Challenge 2026 di Tebingan Pulau Li Hua pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata nilai seperti disiplin, ketelitian dan daya saing yang diterapkan melalui sukan itu perlu terus dipupuk bagi melahirkan lebih ramai anak muda yang berani meneroka bidang STEM.
Ujarnya, kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan persahabatan, pertukaran ilmu, teknologi dan pengalaman dalam kalangan komuniti RC Powerboat dari dalam serta luar negara.
Pada masa sama, Allan berkata penganjuran acara tersebut turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat menerusi kehadiran peserta, penyokong dan pengunjung yang merancakkan sektor pelancongan, perhotelan, pengangkutan serta perniagaan kecil.
Beliau yakin dengan potensi Sungai Rajang dan Pulau Li Hua Waterfront sebagai lokasi pertandingan, kejohanan itu mampu berkembang menjadi antara acara RC Powerboat paling berprestij di rantau Asia.
Hadir sama ialah Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Sibu (DTTG) mewakili Residen Bahagian Sibu, Maria Nadja Jimmy.-EDISI UKAS