52 Bekas Pelajar SMK Beladin Terima Insentif Kecemerlangan SPM 2025
BELADIN: Seramai 52 bekas pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beladin menerima Insentif Kecemerlangan SPM sebagai penghargaan terhadap pencapaian akademik serta usaha gigih mereka sepanjang tempoh persekolahan.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata pendidikan merupakan kunci utama dalam mengubah taraf hidup seseorang serta mengangkat martabat keluarga, justeru setiap pelajar perlu terus berusaha mencapai kecemerlangan tanpa mengira latar belakang atau lokasi tempat tinggal.
Menurut beliau, pelajar yang berasal dari kawasan luar bandar juga mempunyai potensi besar untuk berjaya sekiranya memiliki azam yang tinggi, disiplin serta kesungguhan dalam menuntut ilmu.
Katanya, kejayaan yang diraih seseorang pelajar bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada diri sendiri, malah turut mengharumkan nama keluarga, sekolah dan komuniti setempat.
“Jangan sesekali menganggap pelajar luar bandar tidak mampu bersaing. Dengan usaha, disiplin dan semangat yang tinggi, kita juga mampu mencipta kejayaan setanding pelajar di bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan SPM 2025 kepada 52 bekas pelajar SMK Beladin di sini pada Khamis.
Pada majlis tersebut, seramai 52 penerima menerima insentif dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM15,800 sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian akademik yang membanggakan.
Dalam pada itu, Shafizan turut memuji prestasi akademik SMK Beladin yang menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa hasil kerjasama erat antara pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan seorang pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam SPM 2025, sekali gus membuktikan bahawa pelajar luar bandar juga mampu melakar kejayaan besar.
Sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan di kawasan Batang Lupar, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Beladin serta RM9,000 bagi pelaksanaan Bengkel SPM sekolah berkenaan.
Beliau berharap segala bentuk bantuan dan inisiatif yang disalurkan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak sekolah dalam memperkukuh program kecemerlangan akademik, sekali gus melahirkan lebih ramai pelajar berkualiti pada masa hadapan.-EDISI UKAS