Perkhidmatan Awam Sarawak Perkukuh Tadbir Urus Melalui Pelaporan Terus CeIO
KUCHING: Sistem tadbir urus Perkhidmatan Awam Sarawak diperkukuh menerusi pelaksanaan mekanisme pelaporan baharu yang mewajibkan semua Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) melapor terus kepada Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), sekali gus meningkatkan ketelusan serta keberkesanan pengurusan isu ketidakpatuhan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pendekatan tersebut membolehkan setiap isu ketidakpatuhan dikenal pasti dan ditangani secara lebih telus, di samping memperkukuh budaya integriti dalam organisasi.
“Saya telah mengarahkan bahawa CeIO mesti melapor terus kepada UNIONS, bukannya kepada Ketua Jabatan semata-mata. UNIONS pula akan melaporkan terus kepada saya bagi memastikan apa-apa isu ketidakpatuhan dapat dibetulkan.
“Saya selaku Ketua Perkhidmatan Awam akan sentiasa menyokong usaha memastikan integriti dijadikan sebagai satu budaya organisasi. Kita mesti menjadi contoh kepada rakan-rakan lain dan bekerja sebagai satu pasukan kerana integriti amat penting bagi memastikan setiap tindakan yang diambil memenuhi keperluan rakyat serta memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Sarawak Certified Integrity Officer (CeIO) Summit 2026 di Damai Beach Resort, pada malam Khamis.
Sementara itu jelasnya, usaha memperkukuh integriti perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui mekanisme pelaporan yang lebih berkesan, selain memperkasakan fungsi audit dalaman bagi memastikan setiap dasar, prosedur dan amalan kerja sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Beliau turut menyeru seluruh warga Perkhidmatan Awam Sarawak menghayati pendekatan 3R iaitu Revisit, Rethink dan Recharge bagi memastikan dasar, polisi serta prosedur kerja sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), serta peningkatan ekspektasi rakyat terhadap sistem penyampaian kerajaan.
Hadir sama dalam program itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan dan Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Wan Muhammad Wan Rahman. -EDISI UKAS