Jambatan Sungai Paku Percepat Mobiliti, Sokong Pembangunan Betong
SPAOH: Projek pembinaan Jambatan Sungai Paku bernilai RM36.9 juta dijangka mempercepat mobiliti antara Betong dan Spaoh sehingga 30 minit, sekali gus memperkukuh jaringan pengangkutan bagi menyokong pelaksanaan pelbagai projek pembangunan strategik serta merancakkan pertumbuhan ekonomi di Bahagian Betong.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan berstruktur jambatan gerbang keluli (Steel Arch Bridge) itu akan menjadi penghubung utama antara Spaoh, Betong dan Sri Aman, selain melengkapkan rangkaian infrastruktur yang diperlukan bagi menyokong pembangunan wilayah.
Menurut beliau, kemudahan tersebut akan memudahkan akses kepada beberapa projek berimpak tinggi yang sedang dibangunkan, termasuk Lapangan Terbang Pelepasan dan Pendaratan Pendek (STOLport), Agropark seluas 700 hektar, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) serta projek penanaman padi di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD).
“Jambatan ini memegang peranan yang sangat penting bagi menyokong serta memfasilitasi pergerakan di kawasan yang kaya dengan pelbagai mega projek pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pra Pelancaran Jambatan Sungai Paku, pada Jumaat.
Beliau berkata, rangkaian jambatan yang dibangunkan Kerajaan Sarawak akan memperkukuh hubungan logistik dari Sri Aman hingga Sarikei, sekali gus melancarkan pergerakan barangan, hasil pertanian dan meningkatkan potensi sektor pelancongan serta aktiviti ekonomi serantau.
Datuk Amar Douglas Uggah turut menggesa masyarakat, khususnya usahawan kecil, pembuat kraf tangan dan pemilik tanah supaya memanfaatkan peluang ekonomi yang diwujudkan melalui pembangunan infrastruktur berkenaan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu berkata, pembinaan Jambatan Sungai Paku merupakan pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi kawasan Spaoh dan Betong serta bakal meningkatkan lagi hubungan antara Sri Aman, Betong dan Sarikei.
Majlis Pra Pelancaran Jambatan Sungai Paku anjuran Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong itu menjadi simbolik kemajuan pelaksanaan projek infrastruktur strategik berkenaan.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap ADUN Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datu Chiew Chee Yau, Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong serta ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat.-EDISI UKAS