Mangsa Kebakaran Kampung Batu Gong Lama Terima Rumah Baharu PPRS
SIBURAN: Seorang mangsa kebakaran di Kampung Batu Gong Lama di sini menerima rumah baharu di bawah Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) selepas kediamannya musnah dalam kejadian kebakaran tahun lalu.
Majlis penyerahan kunci rumah tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil di Kampung Batu Gong Lama, pada Khamis.
Penerima, Oline Gemok, 68, kehilangan rumahnya dalam kebakaran pada 12 Jun 2025 dan kini dapat kembali mendiami kediaman yang lebih selesa bersama sembilan ahli keluarganya hasil bantuan kerajaan menerusi PPRS.
Projek Perumahan Rakyat Sejahtera merupakan inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi menyediakan kediaman yang selamat dan selesa kepada golongan sasar, khususnya Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih.
Pelaksanaan program tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan, di samping meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar melalui penyediaan kediaman yang lebih kondusif.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari. -EDISI UKAS