Projek Naik Taraf Jalan Kampung Peremas Siap, Tingkat Keselesaan Penduduk
PADAWAN: Penduduk Kampung Peremas, Batu 15 Jalan Kuching-Serian kini menikmati kemudahan jalan yang lebih selesa dan selamat selepas projek menaik taraf jalan dalam kampung di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 siap dilaksanakan.
Projek bernilai RM150,000 yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan kampung bagi meningkatkan keselesaan serta melancarkan perhubungan harian penduduk.
Kerja-kerja pembinaan yang bermula pada 8 Jun 2026 berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan hasil kerjasama MPP bersama kontraktor.
Majlis penyerahan projek siap diadakan menerusi penyerahan rasmi daripada pihak kontraktor kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Peremas.
Majlis tersebut disaksikan oleh Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Keron Mapus, Ketua Kaum Kampung Peremas, Catherine serta wakil MPP.
Pelaksanaan projek itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat dengan menyediakan kemudahan jalan yang lebih baik, sekali gus meningkatkan aspek keselamatan, keselesaan dan kelancaran pergerakan penduduk. -EDISI UKAS