SK Melugu Sri Aman Miliki Blok Akademik dan Asrama Baharu Bernilai RM7.5 Juta
SRI AMAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Melugu kini menikmati kemudahan blok akademik dan asrama baharu bernilai RM7.5 juta menerusi Projek Cadangan Pembangunan Semula Sekolah Daif di Sarawak menggunakan peruntukan RM1 bilion (Fasa 1).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan blok akademik moden serta blok asrama yang menyediakan penginapan kepada 50 murid lelaki dan 50 murid perempuan.
Menurut beliau, projek yang dilaksanakan oleh syarikat Awene Era Warisan itu bermula pada 13 Mac 2020 dan siap sepenuhnya pada 30 Julai 2022 dengan kos keseluruhan RM7.5 juta.
“Pembinaan kemudahan baharu ini menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selamat dan selesa kepada murid, sekali gus meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta menyokong pembangunan modal insan di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif di Sarawak Menggunakan Peruntukan RM1 Bilion di SK Melugu, di sini pada Jumaat.
Dato Sri Roland berkata, pelaksanaan projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam memastikan murid di luar bandar menikmati kemudahan pendidikan yang setara dengan murid di kawasan bandar.
Bagaimanapun, beliau menegaskan transformasi pendidikan tidak boleh bergantung kepada penyediaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh sistem pendidikan yang berkualiti, tenaga pengajar yang berkemahiran serta persekitaran pembelajaran yang mampu melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang serta Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datu Adana Jed.
Untuk rekod, SK Melugu kini mempunyai 249 murid termasuk murid prasekolah, 26 guru serta lapan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).-EDISI UKAS