KUCHING: Pembudayaan integriti perlu diterapkan secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada pematuhan prosedur atau usaha pencegahan rasuah semata-mata.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, integriti merupakan asas penting dalam membina kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan serta memastikan setiap dasar dan inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Sehubungan itu, beliau menggesa setiap Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) terus meningkatkan kompetensi, menguasai undang-undang serta memahami punca kuasa agensi masing-masing bagi memperkukuh fungsi pengurusan integriti.
"Ini penting supaya CeIO mampu mengenal pasti dan menangani risiko ketidakpatuhan secara lebih berkesan, termasuk berdepan cabaran baharu seperti jenayah siber dan penipuan digital," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutupan Sarawak Certified Integrity Officer (CeIO) Summit 2026 yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki pada malam Khamis.
Tambah beliau, Sarawak kini mempunyai seramai 206 CeIO, antara jumlah tertinggi di Malaysia, dengan hampir 50 program pembangunan kompetensi dilaksanakan sepanjang 2019 hingga 2026 membabitkan pelaburan kira-kira RM1.9 juta.
Program selama tiga hari itu menghimpunkan Pegawai Integriti Bertauliah daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi memperkukuh kompetensi, berkongsi amalan terbaik serta memperkasakan budaya integriti dan tadbir urus dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan dan Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Wan Muhammad Wan Rahman. -EDISI UKAS