TYT Sarawak, Toh Puan Berkenan Hadiri Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Sarawak 2026
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menghadiri Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Sarawak 2026 yang berlangsung di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini, pada Jumaat.
Ketibaan mereka pada jam 8 pagi disambut oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohammad Zainal Abdullah dan Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusuf.
Istiadat perbarisan kali ini melibatkan seramai 455 anggota terdiri daripada 14 pegawai dan 441 anggota lain-lain pangkat.
Perbarisan diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Sempadan, Leftenan Kolonel Ferry Shahrul Rizal Roslan, manakala Penolong Ketua Perbarisan ialah Deputi Superintendan Polis Morebon Manju dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut memainkan peranan penting dalam istiadat tersebut ialah Kapten Muhammad Faqih Sabri dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pangkalan Udara Kuching selaku Ajutan Perbarisan, manakala Sarjan Mejar Rejimen Perbarisan disandang oleh Pegawai Waran I Hazman Muhamad, Sarjan Mejar Rejimen Batalion Ke-10 Rejimen Sempadan.
Istiadat diteruskan dengan tiupan ‘Last Post’, iaitu tiupan paluan akhir yang menjadi simbol penghormatan kepada anggota keselamatan yang terkorban ketika bertugas.
Secara tradisinya, tiupan tersebut digunakan sebagai isyarat berakhirnya pertempuran bagi membolehkan kedua-dua pihak mengumpulkan anggota yang terkorban atau cedera sebelum menjadi sebahagian daripada upacara pengebumian ketenteraan sebagai tanda penghormatan terakhir dan menandakan berakhirnya tugas seseorang anggota keselamatan.
Suasana penuh istiadat kemudiannya diteruskan dengan persembahan koir yang mendendangkan lagu Pahlawanku dan Bahtera Merdeka, diikuti tayangan montaj khas serta deklamasi sajak bertajuk Maruah Yang Tidak Dijual.
Pada majlis tersebut, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah serta tetamu kenamaan turut diperkenalkan kepada enam penerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB), iaitu Pegawai Waran Satu (B) Beliang Bali, Sarjan (B) Mereng Imang, Lans Koperal (B) Unggek Atin, Lans Koperal (B) Bajau Ladi, Sarjan (B) Dajai Anggie dan Sub Inspektor (B) Mohammad Salim.
Istiadat berkenaan kemudiannya diakhiri dengan Tiupan Paluan Fajar atau lebih dikenali sebagai Tiupan Rouse yang menjadi pembakar semangat kepada para tentera dan polis yang masih hidup untuk terus bangkit melangsungkan perjuangan mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.
Mewakili Premier Sarawak dalam istiadat berkenaan ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. -EDISI UKAS