Wakaf Ilmu Perlu Diperkasa Sebagai Pemangkin Kemajuan Ummah
MUKAH: Konsep wakaf ilmu perlu diperluaskan sebagai instrumen strategik bagi memperkukuh kebajikan masyarakat Islam serta memacu pembangunan ummah menerusi penyebaran ilmu yang memberi manfaat berterusan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, masyarakat tidak seharusnya melihat wakaf hanya terbatas kepada harta seperti tanah atau bangunan, sebaliknya ilmu juga merupakan aset bernilai yang mampu diwariskan kepada generasi akan datang.
Menurut beliau, ilmu menjadi pemangkin peningkatan taraf hidup masyarakat dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, pertanian, teknologi dan ekonomi.
“Selama ini kita banyak mewakafkan harta, tetapi konsep wakaf ilmu perlu diperluaskan kerana ilmu adalah instrumen yang mampu membantu masyarakat membangunkan kehidupan mereka.
“Apabila ilmu disampaikan dengan niat untuk memperbaiki kehidupan masyarakat, ia menjadi satu bentuk wakaf yang memberi manfaat berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Zon Mukah-Kapit Tahun 1448H/2026M bertemakan Ummah Maju Makmur di Dataran Pehin Setia Raja, di sini, pada Jumaat.
Premier Sarawak menambah, cadangan memperkasa konsep wakaf ilmu turut dikongsikan bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selain mendapat perhatian Perdana Menteri untuk diperhalusi menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa agama Islam negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan modal insan terus menjadi keutamaan Sarawak melalui penekanan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), bahasa Inggeris serta pelbagai inisiatif pendidikan bagi melahirkan tenaga mahir yang mampu menerajui bidang ekonomi hidrogen, semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan perlu dilaksanakan secara seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar sebagaimana dianjurkan Islam demi menjamin kesejahteraan generasi akan datang.
Pada majlis sama, beliau menyaksikan pelancaran kerjasama strategik antara Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Affin Islamic Bank menerusi platform MIS Pro yang dijangka memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Islam di negeri ini.
Sejurus selesai majlis, Premier Sarawak turut menunaikan solat Jumaat di Masjid Setia Raja.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim, Ketua Hakim Syarie Sarawak, Datu Awang Suhaili Ledi; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana (DHQC-MIS), Mohamad Shalahudin Marzuki, ADUN Tellian, Royston Valentine, Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli, Pengarah JAIS, Ustaz Mual Suaud serta tetamu kenamaan lain.-EDISI UKAS