Premier Lancar MISPRO, Perkasa Pendigitalan Pengurusan Masjid Sarawak
MUKAH: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Jumaat melancarkan MISPRO, aplikasi pengurusan masjid digital yang dibangunkan bagi memperkukuh tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan masjid di seluruh Sarawak.
Pelancaran aplikasi itu diadakan bersempena Majlis Perasmian Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak (MIS) 1448H/2026M Zon Tengah (Mukah-Kapit) yang berlangsung di Dataran Pehin Setia Raja, di sini.
MISPRO dibangunkan hasil kerjasama HPCS Sdn. Bhd. dan Affin Islamic Bank Berhad bagi memperkasakan pengurusan masjid menerusi pendigitalan sistem pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Program Ziarah Mahabbah yang berlangsung selama dua hari bermula 31 Julai hingga 1 Ogos membawa tema “Ummah Maju Makmur” dan dilaksanakan secara inklusif dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Majlis Islam Sarawak, program tersebut bertujuan menyampaikan hala tuju pembangunan ummah selaras dengan dasar kerajaan, memperkukuh penyelarasan program dan perkhidmatan agensi Islam di seluruh negeri, selain mengenal pasti isu, cabaran serta keperluan masyarakat bagi membolehkan tindakan susulan yang lebih berkesan dan tepat pada masanya.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai pengisian disediakan termasuk Pesan Mufti, Forum Keluarga, Innovation Exploration (STEM), Pameran Perkhidmatan Agensi Islam dan Mini Education Fair.
Program turut dimeriahkan dengan Program Aura Wanita serta demonstrasi masakan tradisi Melanau oleh Chef Muluk, selain beberapa program susulan yang akan diteruskan di sekitar Mukah dan Kapit sepanjang Ogos hingga September.
Majlis Islam Sarawak memaklumkan Program Ziarah Mahabbah akan diteruskan ke Zon Tengah meliputi Sibu, Sarikei dan Betong sebelum diperluaskan ke Zon Utara sebagai usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan agensi Islam serta memacu pembangunan ummah ke arah merealisasikan aspirasi Ummah Maju Makmur.
Inisiatif itu juga diharap dapat merapatkan hubungan antara agensi Islam dengan masyarakat serta memudahkan umat Islam di seluruh Sarawak mengakses pelbagai perkhidmatan yang disediakan.-EDISI UKAS