BAGFEST 2026 Himpunkan Pemimpin Industri Kreatif Global Ke Sarawak
KUCHING: Festival Animasi dan Permainan Borneo (BAGFEST) 2026 bakal menghimpunkan pemain industri animasi, permainan digital dan kandungan kreatif dari seluruh dunia apabila berlangsung di Kuching dari 19 hingga 23 Ogos ini.
Festival anjuran bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) itu dilancarkan menerusi majlis kira detik 20 hari menuju penganjurannya, sekali gus memperkukuhkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa ekonomi digital negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC merangkap Pengerusi Bersama BAGFEST 2026, Anuar Fariz Fadzil menerusi satu kenyataan media berkata, festival itu menjadi platform penting untuk mempercepat pembangunan IP tempatan, memperluas kerjasama antarabangsa serta meletakkan Sarawak sebagai pintu masuk serantau bagi industri animasi, permainan dan kandungan digital.
BAGFEST 2026 dijangka menampilkan lebih 30 penceramah terkemuka dari dalam dan luar negara, lebih 50 pempamer serta penyertaan pembeli industri, pelabur, penerbit, studio dan profesional kreatif bagi membuka peluang baharu dalam pembangunan harta intelek (IP), pelaburan, kerjasama perniagaan, pembangunan bakat serta akses ke pasaran antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman berkata BAGFEST 2026 diwujudkan bagi membuka lebih banyak laluan kepada penggiat kreatif Sarawak untuk menembusi pasaran serantau dan global.
Menurut beliau, festival itu menghimpunkan pencipta kandungan, studio, penerbit, pelabur dan syarikat teknologi untuk bertukar idea, membina kerjasama strategik serta mencorakkan masa depan industri kreatif digital.
BAGFEST 2026 dibangunkan berteraskan enam tonggak utama iaitu Kecemerlangan Kreatif dan Penceritaan, Pembangunan serta Globalisasi IP Asal, Pertumbuhan dan Pengkomersialan Perniagaan, Teknologi Masa Hadapan dan Kecerdasan Buatan (AI), Pembangunan Bakat serta Penglibatan Komuniti.
Pelbagai program akan dianjurkan sepanjang festival termasuk persidangan antarabangsa, sesi padanan perniagaan, pertandingan pembentangan idea, semakan portfolio, bengkel teknikal, pameran, tayangan filem animasi, BAGFEST Con serta Karnival Kerjaya MYFutureJobs Metaverse selama dua hari.
Festival itu turut menampilkan barisan tokoh industri antarabangsa daripada Hasbro Entertainment, Wētā FX, Pixar Animation Studios, The Pinkfong Company dan Throne Inc., selain penggiat industri kreatif tempatan termasuk Enfiniti Group, Les’ Copaque Production, WAU Animation dan Metronomik.
Majlis perasmian rasmi BAGFEST 2026 dijadual berlangsung pada 21 Ogos ini dan dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo.-EDISI UKAS