Jom Heboh Kota Samarahan Jadi Platform Dekati Rakyat Dengan Perkhidmatan Kerajaan
KOTA SAMARAHAN: Karnival Jom Heboh (KJH) Sarawak Segulai Sejalai 2026 yang julung kali diadakan di Kota Samarahan menjadi platform berkesan dalam mendekatkan rakyat dengan pelbagai perkhidmatan kerajaan selain menyemarakkan aktiviti kemasyarakatan dan kekeluargaan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran karnival seumpama itu bukan sekadar memberi ruang kepada masyarakat berhibur, malah meningkatkan kefahaman rakyat terhadap fungsi dan peranan pelbagai agensi kerajaan.
“Saya melihat program seperti Jom Heboh ini matlamatnya adalah untuk memberi keceriaan kepada rakyat, di samping memberi makluman mengenai pelbagai agensi kerajaan. Melalui program seperti ini, rakyat dapat mengetahui peranan agensi-agensi kerajaan dan pada masa yang sama berpeluang berhibur,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mengadakan lawatan Walkabout Karnival Jom Heboh di Pekarangan Sebelah Majlis Perbandaran Kota Samarahan, pada Jumaat.
Beliau turut menyifatkan pemilihan Kota Samarahan sebagai lokasi penganjuran kali ini amat bertepatan memandangkan kawasan itu merupakan hab pendidikan yang menempatkan dua universiti awam serta beberapa institusi pendidikan lain, sekali gus berpotensi menarik lebih ramai pengunjung.
Menurutnya, sambutan pada hari pertama juga amat menggalakkan dengan kehadiran penduduk dari Kota Samarahan dan kawasan berhampiran, selain menjangkakan jumlah pengunjung akan terus meningkat sepanjang hujung minggu menerusi pelbagai pengisian termasuk persembahan artis tempatan dan artis popular dari Semenanjung Malaysia.
Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos di Pekarangan Sebelah Majlis Perbandaran Kota Samarahan hasil kerjasama strategik antara Media Prima dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
Penganjuran kali ini menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pameran agensi kerajaan, Jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan percuma, Jom Heboh Fun Run serta Konsert Jom Heboh sebagai acara kemuncak.
Turut hadir Pengarah Projek Karnival Jom Heboh Segula Sejalai Sarawak Kota Samarahan, Elleen Lim serta Pengarah Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Abang Ismawi Abang Ali dan Residen Bahagian Samarahan, Muhamad Irwan Buhari Bujang- EDISI UKAS