Miri Sambut Ketibaan Peserta Sepeda Amal Borneo 2026 Tamatkan Kayuhan 680 Kilometer
MIRI: Seramai 21 peserta berjaya menamatkan kayuhan amal sejauh 680 kilometer dari Kota Kinabalu, Sabah ke Miri, Sarawak dalam tempoh enam hari sempena Sepeda Amal Borneo (SAB) 2026 yang berakhir di Pullman Miri Waterfront, pada Jumaat.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Sepeda Amal Borneo bukan sekadar acara berbasikal, sebaliknya merupakan satu gerakan yang membawa mesej keprihatinan, solidariti dan harapan kepada golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, kayuhan bertemakan “Pedal for Care, Ride for Hope” itu membawa tujuan lebih besar apabila setiap kilometer yang ditempuh bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat serta menggalakkan sumbangan bagi membantu kanak-kanak yang memerlukan rawatan menyelamatkan nyawa.
“Setiap kayuhan meningkatkan kesedaran, setiap kilometer yang ditempuh memberi inspirasi kepada kemurahan hati dan setiap sumbangan membantu memastikan kanak-kanak yang memerlukan rawatan mendapat penjagaan yang sewajarnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Sepeda Amal Borneo 2026 pada Jumaat.
Beliau berkata, perjalanan selama enam hari itu menguji kekuatan fizikal, daya tahan dan keazaman para peserta yang berdepan perubahan cuaca, bentuk muka bumi yang mencabar serta tempoh kayuhan yang panjang, namun setiap kilometer yang dilalui membawa tujuan yang jauh lebih besar daripada sekadar mencapai garisan penamat.
Tambah beliau, edisi tahun ini merupakan penganjuran kali kelima Sepeda Amal Borneo yang bermula pada 2022 sebagai Cycle for Cancer.
Sepanjang lima edisi, para peserta telah mengayuh lebih 3,900 kilometer merentasi Borneo dan berjaya mengumpul lebih RM1.2 juta bagi menyokong pelbagai inisiatif penjagaan kesihatan.
Menurut beliau, pencapaian tersebut bukan hanya diukur berdasarkan jarak kayuhan atau jumlah dana yang dikumpulkan, tetapi melalui kehidupan yang disentuh, harapan yang dipulihkan serta peluang yang diwujudkan untuk kanak-kanak dan keluarga di seluruh Malaysia.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha Malaysian Association of Paediatric Surgery (MAPS) dan Malaysian Patients’ Organisation for Primary Immunodeficiencies (MYPOPI) yang menjadi penerima manfaat kayuhan tahun ini.
Katanya, MAPS terus memperjuangkan akses kepada rawatan pembedahan kanak-kanak yang tepat pada masanya dan mudah dicapai, manakala MYPOPI memainkan peranan penting meningkatkan kesedaran mengenai Primary Immunodeficiency serta kepentingan diagnosis awal dan intervensi tepat pada masanya.
Beliau turut menyambut baik usaha mempromosikan aktiviti berbasikal bukan sahaja sebagai aktiviti rekreasi yang menyihatkan, malah sebagai platform untuk penglibatan masyarakat dan tanggungjawab sosial.
Menurutnya, berbasikal juga semakin diiktiraf di seluruh dunia sebagai kaedah pengangkutan yang mampan dan mesra alam, selain memberi manfaat kepada kesihatan, mengeratkan hubungan komuniti serta menggalakkan gaya hidup aktif.
Turut hadir Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo, Mantan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dato Dr. Kalwinder Singh Khaira serta Presiden Persatuan Pembedahan Kanak-Kanak Malaysia (MAPS), Professor Dr. Shireen Anne Nah Han Yien.-EDISI UKAS