Gabungan Kekuatan Sarawak-Brunei Perkasa Daya Saing Ekonomi BIMP-EAGA
BANDAR SERI BEGAWAN: Sarawak dan Brunei Darussalam mempunyai kelebihan strategik yang saling melengkapi dan berpotensi membentuk ekonomi serantau yang lebih berdaya tahan serta berdaya saing bagi memperkukuh pertumbuhan di rantau BIMP-EAGA.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak memiliki sumber asli yang melimpah, keluasan tanah serta tenaga boleh diperbaharui, manakala Brunei mempunyai kekuatan dalam pensijilan halal, teknologi, pemprosesan makanan dan akses ke pasaran antarabangsa.
“Gabungan kelebihan ini mampu membentuk ekonomi serantau yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak–Brunei 2026 yang berlangsung di Dewan Muhibbah Jabatan Daerah Brunei dan Muara, pada Jumaat.
Datuk Amar Awang Tengah berkata, Sarawak kini giat membangunkan ekonomi baharu yang merangkumi industri hiliran minyak dan gas seperti pengeluaran metanol, ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, pembuatan termaju, industri berteknologi tinggi, semikonduktor, aeroangkasa serta pengeluaran makanan moden termasuk penanaman padi berskala besar dan industri ternakan di Limbang dan Lawas.
Katanya, kerjasama dalam sektor-sektor tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan perdagangan dan pelaburan, malah menyumbang kepada keterjaminan makanan, penciptaan pekerjaan berkualiti serta pembangunan ekonomi yang memberi manfaat kepada kedua-dua wilayah.
Dalam sektor pelancongan pula, beliau berkata Brunei memiliki infrastruktur logistik yang lengkap, manakala Sarawak sedang memperkukuh jaringan penerbangannya melalui penubuhan AirBorneo.
Beliau berkata, kerjasama strategik seperti codeshare antara AirBorneo dan Royal Brunei Airlines berpotensi memperluaskan rangkaian destinasi serta menjadikan Brunei sebagai hab pelancongan ke rantau BIMP-EAGA.
Selain itu jelasnya, kawasan utara Sarawak yang meliputi Miri, Limbang dan Lawas mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai koridor pertumbuhan ekonomi rentas sempadan menerusi pendekatan pembangunan sempadan bersama.
Mengulas hubungan ekonomi kedua-dua wilayah, beliau berkata Brunei merupakan antara rakan dagang terpenting Sarawak dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM1.89 bilion pada 2025.
“Dalam tempoh 2021 hingga 2025 pula, Sarawak merekodkan pelaburan diluluskan melebihi RM116 bilion, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap negeri ini,” katanya lagi.
Pada majlis itu turut berlangsung pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) melibatkan syarikat dari Sarawak dan Brunei, termasuk kerjasama membangunkan ekosistem industri, logistik dan pelaburan yang menghubungkan Muara Port di Brunei dengan Kenyalang Smart City di Miri, selain kerjasama dalam sektor makanan, ICT dan pengedaran produk.
Program Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak–Brunei 2026 turut mencatat peningkatan penyertaan kepada 116 usahawan berbanding 39 pada tahun lalu, melibatkan 50 peserta dari Sarawak dan 66 peserta dari Brunei Darussalam, sekali gus memperkukuh jaringan perniagaan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ‘Sarawak Trade and Tourism Office Brunei’ (STATOB) Samat Junai. -EDISI UKAS