Komuniti Rumah Panjang Diperkasa Melalui Keusahawanan Pertanian
BINTULU: Komuniti rumah panjang di Sungai Mas terus diperkasa menerusi pendedahan kepada ilmu keusahawanan pertanian bagi meningkatkan keupayaan masyarakat luar bandar mengurus perusahaan secara lebih sistematik, berdaya saing serta mampu menjana pendapatan mampan.
Inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi Program Keusahawanan Perniagaantani anjuran Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains yang berlangsung di Rumah Jungan pada 25 Julai lalu yang diketuai Dr Anita Rosli.
Program khidmat komuniti itu menghimpunkan seramai 34 peserta daripada Rumah Jungan serta dua rumah panjang berhampiran iaitu Rumah Sam dan Rumah Micheal Bilong.
Sepanjang program, peserta didedahkan kepada aspek perancangan projek pertanian, pengurusan kewangan dan strategi pemasaran bagi membantu mereka melihat sektor pertanian sebagai bidang perniagaan yang berpotensi menjana pendapatan, bukan sekadar memenuhi keperluan sara diri.
Program berkenaan merupakan antara inisiatif di bawah Geran Projek Kecil Luar Bandar Ahli Parlimen Bintulu merangkap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Seri Tiong King Sing dengan peruntukan sebanyak RM100,000.
Peserta turut didedahkan kepada kaedah perancangan dan penjadualan projek pertanian oleh Dr Anita Rosli serta pengurusan kewangan dan strategi pemasaran yang dikongsikan Dr Ismawati Sharkawi bagi memperkukuh pengurusan perusahaan pertanian.
Program itu turut melibatkan 23 pelajar Kelab Agribiz UPMS sebagai jawatankuasa pelaksana dan fasilitator aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK).
Selain itu, peserta turut diberi pendedahan mengenai peluang pembiayaan perniagaan pertanian oleh wakil Agrobank Cawangan Bintulu, Wilson Kamis Tagal, serta kepentingan penubuhan koperasi yang disampaikan wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Bintulu, Nur Alyaa Rothman.- EDISI UKAS