Kerjasama Bandar Antarabangsa Perkukuh Agenda Pembangunan Sarawak
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh kerjasama bandar antarabangsa sebagai strategi memperluaskan peluang pembangunan ekonomi, pembangunan bakat, inovasi dan kelestarian selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, kerjasama antara kerajaan tempatan membolehkan bandar-bandar saling berkongsi pengalaman, amalan terbaik dan memperluaskan kolaborasi dalam pelbagai sektor strategik termasuk pembangunan ekonomi, pelancongan, pendidikan, kebudayaan, kelestarian alam sekitar dan inovasi.
“Melalui kerjasama antara kerajaan tempatan, bandar-bandar kita berpeluang berkongsi pengalaman dan amalan terbaik serta memperkukuh kerjasama dalam pembangunan ekonomi, pelancongan, pendidikan, kebudayaan, kelestarian alam sekitar dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam Bandar Persahabatan Antarabangsa sempena Festival Kuching 2026, di Panggung Majlis Bandaraya Kuching Selatan, pada malam Jumaat.
Beliau berkata, pendekatan tersebut melengkapkan pelaksanaan PCDS 2030 yang memberi penekanan kepada kerjasama antarabangsa, pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan dan pembangunan mampan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada sektor perniagaan serta generasi muda Sarawak.
Menurut beliau, hubungan yang terjalin melalui kerjasama bandar bukan sahaja mengukuhkan persefahaman antara masyarakat pelbagai negara, malah menjadi platform memperluaskan pertukaran idea, budaya dan peluang pembangunan yang memberi manfaat bersama.
Datuk Amar Dr Sim turut mengalu-alukan kehadiran delegasi, pemimpin bandar dan kumpulan kebudayaan dari Quanzhou dan Zhengzhou, China, Jepun serta Korea Selatan, sambil menyifatkan penyertaan mereka sebagai bukti hubungan persahabatan yang terus diperkukuh antara Sarawak dengan bandar-bandar di rantau Asia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa sehingga Kuching mendapat pengiktirafan di peringkat global, termasuk sebagai Bandar Gastronomi Kreatif UNESCO serta rakan strategik kepada pelbagai bandar di Asia dan luar rantau ini.
Beliau berharap hubungan persahabatan yang terjalin akan terus diperkukuh bagi mewujudkan lebih banyak peluang kerjasama yang menyumbang kepada kemakmuran, keamanan dan pembangunan bersama antara bandar-bandar yang terlibat.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng serta Timbalan Datuk Bandar MBKS, Dato Zaiedi Suhaili-EDISI UKAS