Pemberian Lesen Perniagaan Langkah Penting Melahirkan Lebih Ramai Usahawan
PUSA: Kerajaan Sarawak sentiasa komited melahirkan masyarakat yang sejahtera dan prihatin melalui pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, pemberian lesen perniagaan merupakan langkah penting dalam melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya serta mampu meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan masyarakat.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada usahawan dan menggesa mereka supaya mendapatkan maklumat daripada agensi berkaitan bagi merebut peluang yang disediakan.
Bercakap pada Majlis Penyerahan Program Jom Regista Bisnes Pusa Business Registration Names (BNR) di Dewan Seminar Masjid Al Amin Beladin pada Jumaat, beliau turut menasihatkan para usahawan supaya menggunakan media sosial secara bertanggungjawab serta memberi tumpuan kepada usaha membangunkan perniagaan demi kemajuan ekonomi kawasan.
Katanya lagi, Daerah Pusa mencatatkan jumlah pendaftaran lesen perniagaan tertinggi menerusi program tersebut dengan 151 penerima, sekali gus membuktikan kesungguhan masyarakat setempat untuk menceburi bidang keusahawanan.
Dalam usaha memperkukuhkan ekonomi luar bandar, beliau memaklumkan bahawa industri berasaskan nipah terus diperkasakan apabila gula apong berjaya diangkat sebagai produk bernilai tinggi di Sarawak.
Malah, sebuah kilang pemprosesan industri nipah bernilai RM11 juta akan dibina di Kampung Tambak, Pusa bagi meningkatkan nilai tambah produk tempatan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk.
Selain itu katanya, kawasan tanaman kelapa akan terus diperluaskan bagi menghasilkan produk bernilai tinggi, manakala industri nanas turut dikenal pasti sebagai sektor yang mempunyai permintaan tinggi dan berpotensi untuk dikembangkan.
Justeru, beliau berharap semua usahawan memanfaatkan segala peluang yang disediakan kerajaan agar Daerah Pusa mampu muncul sebagai salah sebuah kawasan pengeluar makanan utama di Sarawak serta menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.
Seramai 151 usahawan di Daerah Pusa menerima lesen perniagaan menerusi Program Jom Regista Bisnes Pusa, sekali gus menamatkan penantian mereka sejak tahun 2023 untuk menjalankan perniagaan secara sah.
Program itu menghimpunkan para usahawan tempatan serta pelbagai agensi berkaitan bagi memudahkan proses pendaftaran perniagaan, di samping memberi pendedahan mengenai peluang pembangunan keusahawanan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, kejayaan mendaftarkan 151 usahawan merupakan hasil komitmen tinggi semua pihak yang berganding bahu menyelesaikan masalah yang telah lama dihadapi oleh para peniaga.
Beliau berkata, lesen perniagaan bukan sekadar dokumen rasmi, malah menjadi simbol bahawa sesuatu perniagaan dijalankan secara sah serta mampu meningkatkan keyakinan pelanggan dan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan.
Tambah beliau, pembukaan Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Batang Saribas telah membawa impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi kawasan sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan para usahawan memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan untuk mempromosikan produk ke pasaran yang lebih luas, termasuk mendapatkan pensijilan halal bagi meningkatkan daya saing produk tempatan.
Beliau turut memaklumkan bahawa institusi seperti UiTM sentiasa bersedia membantu usahawan yang berpotensi untuk membangunkan produk sehingga mampu menembusi pasaran luar, sekali gus meningkatkan pendapatan dan merancakkan ekonomi setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai Daerah Pusa dan semua agensi yang bertungkus-lumus menyelesaikan isu pelesenan berkenaan.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang berkata, program tersebut merupakan satu detik bermakna hasil kerjasama erat semua pihak dalam menyelesaikan isu yang telah berlarutan sekian lama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir, khususnya ADUN Beting Maro dan Ahli Parlimen Batang Lupar yang sentiasa memberi sokongan sehingga program berkenaan berjaya dilaksanakan.
Menurutnya, penerimaan lesen oleh 151 usahawan membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu peniaga menjalankan perniagaan secara sah serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"Pejabat Daerah Pusa sentiasa bersedia membantu mana-mana usahawan yang ingin mendapatkan lesen perniagaan. Walau bagaimanapun, proses permohonan memerlukan dokumen yang lengkap sebelum kelulusan dapat diberikan," katanya.
Beliau turut memohon maaf atas kelewatan menyelesaikan isu tersebut dan berharap para usahawan dapat memanfaatkan peluang yang diberikan untuk mengembangkan lagi perniagaan masing-masing. - EDISI UKAS