Sabah, Sarawak Terus Main Peranan Penting Dalam Politik Negara
KUCHING: Sabah dan Sarawak akan terus memainkan peranan penting dalam landskap politik negara, manakala Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dijangka diadakan sebelum penghujung tahun ini berdasarkan tempoh semasa penggal Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kenyataan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Soon bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak lagi menjadi penentu dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan merupakan pandangan peribadi beliau.
“Politik ini kita tidak boleh mengatakan bahawa Sarawak dan Sabah tidak memainkan peranan dalam politik negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis IIUM Alumni Unmatic Gathering di Hotel Waterfront, di sini pada Ahad.
Menurut beliau, penyertaan GPS dalam Kerajaan Perpaduan dibuat atas pertimbangan untuk menyokong kestabilan politik negara, manakala kedudukan strategik Sabah dan Sarawak terus menjadikan kedua-dua wilayah itu mempunyai peranan penting dalam landskap politik nasional.
Mengulas mengenai PRN Sarawak, Dato Sri Abdul Karim berkata berdasarkan pemerhatiannya, pilihan raya negeri dijangka diadakan tahun ini memandangkan tempoh penggal Dewan Undangan Negeri semakin menghampiri penghujung.
Beliau berkata, lazimnya pilihan raya diadakan sebelum tamat tempoh penggal bagi memastikan proses pentadbiran dan peralihan mandat dapat dilaksanakan mengikut peruntukan yang ditetapkan.
“Pada pemerhatian saya sendiri, pilihan raya memang perlu diadakan tahun ini,”
“Kebiasaannya pilihan raya diadakan sebelum tamat tempoh penggal. Kita tidak mahu Dewan Undangan Negeri terbubar secara automatik sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka,” katanya.
Dato Sri Abdul Karim berkata, pelaksanaan pilihan raya sebelum tamat tempoh penggal merupakan amalan yang lazim bagi memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dengan teratur. -EDISI UKAS