Sarawak Traffic Games Sri Aman Pada 17 Oktober Ini
SIMANGGANG: Persiapan awal penganjuran Sarawak Traffic Games Bahagian Sri Aman 2026 diperkemaskan menerusi Mesyuarat Penyelarasan yang memberi tumpuan kepada aspek logistik, penyelarasan teknikal serta penambahbaikan pelaksanaan program menjelang pertandingan yang dijadual berlangsung pada 17 Oktober 2026.
Mesyuarat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Sri Aman pada Isnin itu dipengerusikan oleh Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Program anjuran bersama Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Pejabat Residen Bahagian Sri Aman itu bertujuan memupuk budaya keselamatan jalan raya serta meningkatkan disiplin dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah melalui pendekatan pendidikan yang interaktif.
Antara perkara yang dibincangkan ialah pematuhan garis panduan pertandingan, penyelarasan penyertaan peserta serta pelaksanaan beberapa penambahbaikan bagi edisi tahun ini, termasuk penaiktarafan Kuiz Dalam Talian yang mengaplikasikan elemen digital bagi meningkatkan penyertaan dan keberkesanan pembelajaran.
Mesyuarat turut dimaklumkan bahawa Pertandingan Pidato Keselamatan Jalan Raya akan diperkenalkan sebagai acara baharu bagi memilih wakil terbaik Bahagian Sri Aman ke peringkat negeri.
Penganjuran Sarawak Traffic Games dilihat sebagai platform berkesan dalam membentuk generasi muda yang lebih berdisiplin, berpengetahuan dan bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan jalan raya, selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan modal insan Sarawak.
Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan serta wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya Bahagian Sri Aman, Majlis Daerah Sri Aman, Hospital Sri Aman, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Pendidikan Daerah Sri Aman dan Pejabat Pendidikan Daerah Lubok Antu.-EDISI UKAS