Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 Perkukuh Budaya Tadbir Urus Telus, Akauntabiliti
KUCHING: Sambutan Hari Integriti Sarawak (HIS) 2026 dan Persidangan Pemantapan Integriti, Tadbir Urus dan Anti-Rasuah (PINTAR) 2026 bakal menjadi platform penting dalam memperkukuh budaya integriti serta meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.
Program dua hari yang akan berlangsung pada 11 dan 12 Ogos di Pusat Konvensyen Borneo Kuching itu menyasarkan penyertaan kira-kira 12,000 peserta, merangkumi penjawat awam, agensi kerajaan serta masyarakat umum sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata penganjuran tahun ini menampilkan kelainan apabila kedua-dua program digabungkan bagi memperluas impak kesedaran integriti dalam kalangan penjawat awam dan rakyat.
Menurut beliau, Persidangan PINTAR pada 11 Ogos akan memberi fokus kepada pemantapan kompetensi pegawai kanan dan ketua jabatan melalui perkongsian isu semasa serta amalan terbaik berkaitan integriti, tadbir urus dan pencegahan rasuah di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Program ini menghimpunkan penceramah berpengalaman termasuk wakil antarabangsa serta agensi penguatkuasaan bagi berkongsi perspektif berkaitan cabaran integriti semasa, termasuk aspek pengurusan risiko dan keselamatan data dalam era digital,” jelasnya dalam program temubual Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), di sini pada Isnin.
Beliau menambah, sambutan HIS 2026 pada 12 Ogos pula akan menumpukan kepada pembudayaan integriti secara menyeluruh dengan penglibatan semua peringkat termasuk akar umbi.
Majlis berkenaan dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang turut menyampaikan amanat berkaitan hala tuju integriti negeri selaras dengan aspirasi pembangunan jangka panjang.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Juanda berkata tema “Integriti Teras Kemakmuran Sarawak” dipilih bagi menegaskan bahawa kemajuan negeri tidak bermakna tanpa nilai amanah, ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran.
“Integriti bukan sahaja bermula daripada kepimpinan tertinggi, tetapi perlu dibudayakan hingga ke peringkat masyarakat. Apabila semua pihak mengamalkannya, barulah kepercayaan rakyat terhadap sistem dapat diperkukuh,” ujarnya.
Antara pengisian utama HIS 2026 termasuk pelancaran modul PINTAR Penjawat Awam Sarawak, penubuhan Kelab Rakan Integriti Sekolah serta majlis pengiktirafan kepada jabatan yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam aspek integriti.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak turut memberi penekanan kepada cabaran baharu integriti dalam era digital, khususnya melibatkan pengurusan data dan risiko jenayah siber seperti penipuan dan pencerobohan sistem.
Beliau turut menekankan bahawa maklum balas rakyat, termasuk aduan awam, harus dilihat sebagai peluang penambahbaikan bagi memastikan sistem pentadbiran sentiasa relevan, cekap dan telus.-EDISI UKAS