Sarawak Energy Umum Pelantikan Bakal Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
KUCHING: Lembaga Pengarah Sarawak Energy Berhad hari ini mengumumkan pelantikan Dato Ruslan Abdul Ghani sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berkuat kuasa mulai 1 September 2026.
Beliau akan mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada 1 November 2026 susulan persaraan Datuk Sharbini Suhaili selepas tamat kontrak perkhidmatan beliau pada penghujung Oktober 2026.
Dato Ruslan menyertai Sarawak Energy daripada Bintulu Port Holdings Berhad, di mana kini berkhidmat sebagai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.
Beliau yang berkelulusan kejuruteraan memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan daripada University of Warwick, United Kingdom serta mempunyai lebih 30 tahun pengalaman kepimpinan dalam sektor tenaga dan infrastruktur.
Sebelum menyertai Bintulu Port Holdings Berhad, beliau berkhidmat selama 32 tahun bersama PETRONAS dengan memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan di Malaysia dan luar negara, termasuk di Sudan, Iraq, Emiriah Arab Bersatu dan Turkmenistan.
Sepanjang menerajui Bintulu Port Holdings Berhad, beliau memainkan peranan penting dalam menjayakan pemindahan pemilikan Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak di samping memacu transformasi organisasi, kecemerlangan operasi dan pertumbuhan mampan.
Sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato Ruslan akan bekerjasama rapat dengan Datuk Sharbini serta Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan sepanjang tempoh dua bulan akan datang bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan lancar dan teratur.
Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Ibrahim Baki berkata, pelantikan tersebut mencerminkan keyakinan Lembaga Pengarah terhadap keupayaan Dato Ruslan untuk menerajui Sarawak Energy ke fasa pertumbuhan seterusnya.
"Dato Ruslan membawa pengalaman kepimpinan yang luas, wawasan strategik serta rekod pencapaian cemerlang dalam memacu transformasi organisasi yang kompleks.
"Kepakaran beliau dalam sektor tenaga dan infrastruktur, digabungkan dengan komitmen tinggi terhadap kecemerlangan operasi serta kelestarian, akan membolehkan Sarawak Energy terus melaksanakan strategi jangka panjangnya sambil menyokong aspirasi Sarawak dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui," katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut merakamkan penghargaan tulus Lembaga Pengarah kepada Datuk Haji Sharbini atas kepimpinan korporat yang cemerlang serta khidmat bakti beliau sepanjang menerajui Sarawak Energy.
"Di bawah kepimpinan Datuk Sharbini, Sarawak Energy berkembang menjadi antara syarikat utiliti tenaga boleh diperbaharui terkemuka di Asia Tenggara menerusi pelaksanaan berjaya Pelan Hala Tuju Kecemerlangan Sarawak Energy.
"Beliau turut memperkukuh daya tahan operasi dan kewangan Kumpulan, memperluas jaringan kesalinghubungan tenaga serantau serta meletakkan Sarawak sebagai kuasa baharu dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui," jelasnya.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Datuk Sharbini mengetuai pengambilalihan Loji Hidroelektrik Bakun, memperkukuh kedudukan kewangan Sarawak Energy di samping mengekalkan penarafan kredit bertaraf pelaburan antarabangsa serta penarafan AAA di peringkat domestik.
Beliau juga berjaya membudayakan amalan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE) yang kukuh dalam organisasi.
Di bawah kepimpinan beliau, Loji Hidroelektrik Bakun menerima Anugerah Blue Planet 2025 daripada International Hydropower Association (IHA) serta Pensijilan Perak Piawaian Kelestarian Hidrokuasa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak Energy di peringkat antarabangsa dalam pembangunan hidrokuasa mampan.
"Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Haji Sharbini atas perkhidmatan dan dedikasi beliau yang cemerlang kepada Sarawak Energy serta Sarawak.
"Sumbangan beliau telah meletakkan asas yang kukuh untuk kejayaan berterusan organisasi ini dan kami mendoakan beliau terus mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi pada masa hadapan," katanya lagi.
Peralihan kepimpinan ini mencerminkan komitmen Sarawak Energy terhadap amalan tadbir urus korporat yang kukuh serta perancangan penggantian kepimpinan yang teratur.
Perubahan tersebut tidak akan menjejaskan operasi Kumpulan, keutamaan strategik mahupun komitmennya untuk terus menyediakan bekalan tenaga yang boleh dipercayai, mampan dan mampu milik kepada pelanggan, rakan perniagaan serta semua pihak berkepentingan.-EDISI UKAS