Laluan Bas Rentas Sempadan Kuching-Putussibau Bakal Perkukuh Kesalinghubungan Sarawak-Kalimantan
LUBOK ANTU: Cadangan pembukaan laluan bas rentas sempadan yang menghubungkan Kuching dengan Putussibau, Kalimantan Barat melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu–Nanga Badau dijangka memperkukuh kesalinghubungan antara Sarawak dan Kalimantan Barat, sekali gus merancakkan sektor pelancongan, perdagangan, perubatan serta aktiviti ekonomi rentas sempadan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, cadangan tersebut sedang diperhalusi menerusi lawatan kerja ke ICQS Lubok Antu bagi meninjau kesiapsiagaan kemudahan serta mendapatkan maklum balas daripada agensi berkaitan dan pengendali bas mengenai pelaksanaan laluan baharu itu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Konsul Republik Indonesia di Kuching, Musa Derek Sairwona, perjalanan darat dari Putussibau ke Pontianak ketika ini mengambil masa kira-kira 20 jam.
“Bagaimanapun, sekiranya laluan melalui ICQS Lubok Antu–Nanga Badau dan seterusnya ICQS Tebedu–Entikong dimanfaatkan, tempoh perjalanan dijangka dapat dipendekkan lebih daripada separuh, sekali gus menawarkan pilihan perjalanan yang lebih cepat dan efisien kepada pengguna," katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ICQS Lubok Antu pada Isnin.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee memberitahu, kementerian turut melihat potensi Kuching untuk berkembang sebagai hab transit serantau yang menghubungkan rangkaian pengangkutan udara dan darat antara Sarawak dan Indonesia.
Katanya, dengan adanya perkhidmatan penerbangan terus antara Kuching dan Jakarta serta penyertaan AirBorneo pada masa hadapan, laluan bas rentas sempadan tersebut akan melengkapkan ekosistem pengangkutan yang lebih bersepadu.
"Penumpang dari Indonesia boleh meneruskan perjalanan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ke pelbagai destinasi, manakala penumpang yang tiba di Kuching juga boleh meneruskan perjalanan ke Kalimantan melalui perkhidmatan bas rentas sempadan," katanya.
Menurut beliau, kedua-dua syarikat pengendali bas iaitu Biaramas Express dari Sarawak dan DAMRI dari Indonesia telah menyatakan kesiapsiagaan untuk memulakan operasi sebaik sahaja semua kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan diperoleh.
Bagi mempercepatkan pelaksanaan projek itu, beliau memaklumkan Kementerian Pengangkutan Sarawak akan mengemukakan surat rasmi kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bagi memohon agar proses kelulusan terhadap cadangan laluan bas rentas sempadan tersebut dapat disegerakan.
Turut menyertai lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Datu Wong Hee Sieng, Konsul Republik Indonesia di Kuching Musa Derek Sairwona, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS