TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Kontrak di Malaysia
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Kontrak di Malaysia di Astana Negeri Sarawak, pada Isnin.
Kunjungan hormat tersebut sempena Sesi Libat Urus (SLU) Cadangan Pembaharuan Undang-Undang Kontrak di Malaysia Peringkat Zon Sarawak yang menghimpunkan pimpinan serta pakar perundangan negara bagi membincangkan cadangan pembaharuan undang-undang kontrak agar kerangka perundangan sedia ada terus relevan dengan perkembangan semasa.
Delegasi itu disertai Hakim Mahkamah Persekutuan Dato' Seri Vazeer Alam Mydin Meera, Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wong Kian Kheong dan Dato' Azizul Azmi Adnan serta Presiden Mahkamah Timbang Tara Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) merangkap mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Mary Lim Thiam Suan.
Kunjungan hormat itu bertujuan memperkukuh perbincangan strategik mengenai cadangan pembaharuan undang-undang kontrak di peringkat Zon Sarawak, sekali gus memastikan sistem perundangan negara kekal responsif terhadap keperluan semasa.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi berharap kunjungan hormat berkenaan dapat terus mengeratkan hubungan kerjasama antara semua pihak, di samping menjadi pemangkin kepada pembentukan dasar serta perundangan yang lebih inklusif, dinamik dan berpandangan jauh demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Sarawak.
Sesi libat urus tersebut turut mendapat kerjasama dan kepakaran daripada tokoh akademik institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Taylor's University, selain pengamal undang-undang kanan negara.
Turut hadir ialah perwakilan daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) yang diketuai Pengarahnya (Dasar), Kevin Geh Kien Meng bersama Timbalan Pengarah (Dasar), Dr. Suharmi Ismail, selain Ahli Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Kontrak di Malaysia (CRRCL). -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim