Sibu Diusul Anjur Regatta Sarawak 2027, Rancakkan Sukan Pelancongan
SIBU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia mencadangkan penganjuran Cabaran Regatta Sarawak di Sibu pada tahun 2027 bagi menyemarakkan lagi aktiviti antarabangsa di kawasan berkenaan.
Menterinya, Dato Sri Tiong King Sing berkata cadangan itu dikemukakan bagi memastikan Sibu kekal aktif dan tidak menjadi sebuah bandar yang sepi.
Sehubugan itu, beliau meminta Pejabat Residen Bahagian Sibu merancang awal usaha berkenaan bersama pihak berkaitan, berpandukan kejayaan penganjuran Regatta Bintulu sebelum ini.
"Sebab itulah saya ingin mengemukakan satu cadangan: jika boleh, mari kita anjurkan Cabaran Regatta Sarawak pada tahun 2027.
“Dengan perancangan yang betul, kita pasti boleh melakukannya," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Cabaran Sungai Perlumbaan Bot Kuasa Kawalan Jauh (RC Powerboat) Antarabangsa Sibu 2026 di Tebingan Sungai Pulau Li Hua di sini, pada Ahad.
Ahli Parlimen Bintulu itu menambah, perancangan yang dimulakan lebih awal akan membolehkan para peserta dan peminat sukan berkenaan membuat persediaan serta latihan secukupnya.
Mengulas mengenai kejayaan Cabaran Sungai RC Powerboat Antarabangsa Sibu 2026, beliau menegaskan penganjuran itu membuktikan keupayaan Sibu mengendalikan acara sukan bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, acara yang disertai pelumba dari Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Sarawak itu pernah melakar pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi penganjuran bot kuasa RC terbanyak dalam satu acara pada tahun 2025.
“Selain itu, acara seperti ini turut memperkukuh sukan pelancongan dengan memperkenalkan Sibu kepada tetamu antarabangsa.
“Ia membawa manfaat ekonomi secara langsung kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan, serta perniagaan tempatan kita, sambil memperkenalkan budaya tempatan yang kaya kepada dunia,” ujarnya lagi.-EDISI UKAS