Dwi-Kejohanan Sukan PBB N3 Tanjong Datu Cungkil Bakat, Perkukuh Perpaduan Komuniti
LUNDU: Penganjuran dwi-kejohanan sukan oleh Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N3 Tanjong Datu bukan sahaja mencungkil bakat baharu dalam arena sukan, malah memperkukuh perpaduan serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Berlangsung di Kompleks Sukan Lundu, program tersebut menghimpunkan penyertaan masyarakat pelbagai peringkat umur menerusi Perlawanan Liga Futsal Tertutup N3 Tanjong Datu anjuran Pergerakan Wanita PBB N3 Tanjong Datu serta Pertandingan Badminton Tertutup Piala YB Haji Azizul Annuar Pehin Sri Haji Adenan anjuran Pergerakan Pemuda PBB N3 Tanjong Datu.
Liga futsal yang disertai 12 pasukan berlangsung dalam suasana kompetitif dengan pasukan Ladies FC muncul juara selepas mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan.
Sementara itu, pertandingan badminton turut menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan peserta daripada pelbagai lapisan umur. Pertandingan dipertandingkan dalam kategori Beregu Veteran, Beregu Senior, Beregu Bawah 17 Tahun dan Bawah 12 Tahun, sekali gus menyediakan ruang kepada lebih ramai bakat muda untuk diketengahkan.
Majlis perasmian kedua-dua kejohanan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.
Kemuncak program menyaksikan majlis penutupan rasmi dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Penganjuran dwi-kejohanan ini mencerminkan komitmen berterusan Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda PBB N3 Tanjong Datu dalam memperkasa pembangunan belia serta membudayakan sukan sebagai medium memupuk perpaduan, mengeratkan silaturahim dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS