Pertandingan Ooohaa PUBG Tarik Minat Belia Luar Bandar di Kakus
KAKUS: Penganjuran Pertandingan Ooohaa PUBG oleh Sarawak E-Sport Association (SESA) bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.60 Kakus berjaya menarik penyertaan belia luar bandar dengan menghimpunkan seramai 150 peserta dan pengunjung, melibatkan 18 pasukan.
Hadir memeriahkan program diadakan di Masjid Baru Daerah Tatau pada Ahad itu ialah Setiausaha Cawangan PBB N.60 Kakus yang juga Penolong Setiausaha I Majlis Tertinggi Pemuda PBB Negeri Sarawak, Murphy Nyegang Nelson Mujah, Presiden Sarawak E-Sport Association (SESA), Afiq Fadhli Narawi serta Ketua Pemuda PBB Cawangan Kakus, Ambrose Jayan.
Dalam pertandingan tersebut, pasukan Zone SQ muncul sebagai johan dan membawa pulang wang tunai RM1,000, diikuti pasukan Dejavu di tempat kedua dengan hadiah RM600, manakala pasukan Mdesa di tempat ketiga menerima RM400.
Berucap pada majlis tersebut, Murphy berkata penganjuran program seumpama itu merupakan inisiatif penting dalam memberi ruang dan peluang kepada golongan belia luar bandar, khususnya di kawasan Arip, Tatau dan Selangau untuk menyerlahkan bakat dalam bidang e-sukan.
Menurut beliau, selain menjadi platform mencungkil bakat baharu, aktiviti berunsurkan e-sukan juga mampu mengisi masa lapang belia dengan kegiatan yang lebih positif serta membantu menjauhkan mereka daripada gejala sosial yang tidak sihat.
“Saya berharap lebih ramai belia tampil menyertai program seperti ini pada masa akan datang agar bakat dari kawasan luar bandar dapat diberikan peluang, bimbingan dan pendedahan sewajarnya untuk berkembang ke tahap lebih tinggi.
“Tidak mustahil suatu hari nanti, bakat dari Arip, Tatau atau Selangau mampu mewakili Sarawak dan Malaysia di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya.
Penganjuran pertandingan ini mencerminkan komitmen PBB N.60 Kakus bersama SESA dalam memperkasa pembangunan e-sukan di peringkat akar umbi, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada belia luar bandar untuk mengetengahkan potensi dalam arena kompetitif.-EDISI UKAS