Tiga Wanita Cemerlang Terima Pengiktirafan Sempena HW26 Bintulu
BINTULU: Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 (HW26) Peringkat Daerah Bintulu menjadi detik bermakna bagi Razuna Kiprawi, Angellie Stephen Raja dan Victoria Mujan Nyeigok selepas menerima pengiktirafan dalam majlis diadakan di Hotel Parkcity Everly pada Ahad.
Pemilik Monanie Family Enterprise Bintulu, Razuna Kiprawi, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Wanita, manakala Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Angellie Stephen Raja, menerima Anugerah Personaliti Wanita.
Sementara itu, usahawan kraftangan Victoria Mujan Nyeigok dipilih sebagai penerima Anugerah Wanita Elegan.
Ketiga-tiga penerima menerima trofi sebagai tanda penghargaan atas sumbangan serta pencapaian masing-masing dalam bidang yang diceburi.
Anugerah berkenaan merupakan antara pengisian utama Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 (HW26) Peringkat Daerah Bintulu yang turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk sesi perkongsian ilmu, pameran, saringan kesihatan dan cabutan bertuah.-EDISI UKAS