Warisan Budaya Perlu Dipelihara Seiring Arus Pembangunan Moden
LIMBANG: Warisan budaya perlu dipelihara seiring arus pembangunan moden bagi memastikan identiti serta sejarah sesuatu masyarakat terus dipertahankan dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata budaya bukan sekadar warisan nenek moyang, malah menjadi asas perpaduan, identiti serta kebanggaan sesuatu komuniti yang perlu terus dipelihara meskipun dunia semakin pesat membangun.
“Namun, dalam konteks hari ini, Pesta Makan Tahun telah berkembang menjadi lebih daripada itu. Ia menjadi simbol perpaduan, identiti dan kebanggaan masyarakat Kedayan yang terus diwarisi daripada generasi terdahulu.
“Dalam dunia yang semakin moden dan berubah pantas, usaha memelihara warisan budaya menjadi semakin penting. Kemajuan tidak seharusnya menyebabkan kita melupakan akar budaya dan sejarah kita sendiri,” katanya.
Teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat pada Majlis Perasmian Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang 2026 pada Ahad.
Menurut beliau, penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk generasi muda dalam Pesta Makan Tahun membuktikan budaya Kedayan masih terus hidup serta mempunyai tempat yang istimewa dalam masyarakat Sarawak.
Tambah beliau, tradisi seperti Pesta Makan Tahun wajar terus diperkasakan kerana bukan sahaja menjadi platform meraikan budaya, malah berpotensi dikembangkan sebagai produk pelancongan komuniti yang mampu menjana peluang ekonomi melalui perusahaan kecil dan makanan tradisional.
Pada masa sama, beliau menegaskan Kerajaan Sarawak sentiasa memastikan setiap kaum diberikan ruang dan sokongan untuk memelihara identiti budaya masing-masing agar tiada komuniti yang tercicir dalam arus pembangunan negeri.
Beliau berkata, pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial yang dilaksanakan kerajaan sentiasa bergerak seiring dengan usaha memelihara warisan rakyat demi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Menyentuh mengenai pembangunan Limbang, beliau menegaskan bahagian itu tidak pernah dipinggirkan walaupun kedudukannya unik, sebaliknya terus diberi perhatian khusus melalui pelbagai projek strategik bagi meningkatkan kesalinghubungan, kemudahan asas dan peluang ekonomi.
Antara projek yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan Jambatan Sungai Limbang Kedua serta Pusat Pentadbiran Bersepadu (Integrated Administrative Centre-IAC) Limbang yang dijangka memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan serta merancakkan lagi pembangunan di bahagian tersebut.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail serta isteri Datin Dayang Maimunah Awang Muhammad Daud, Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Rozita Kulai, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang, Kr. Sufian Mohat dan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Kadaruddin Aiyub.-EDISI UKAS