SERIAN: Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Bahagian Serian Tahun 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh agenda pembangunan belia menerusi perbincangan isu semasa, sesi libat urus serta cadangan strategik bagi melahirkan generasi muda yang dinamik, progresif dan berdaya saing.
MPBN tersebut dipengerusikan Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong itu berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Serian pada Isnin dengan menghimpunkan pemimpin pertubuhan belia, wakil jabatan serta agensi kerajaan bagi membincangkan keperluan dan hala tuju pembangunan belia di bahagian tersebut.
Selain itu, MPBN peringkat bahagian berperanan sebagai platform perundingan antara kerajaan dan pertubuhan belia bagi membincangkan isu, cabaran serta dimensi baharu pembangunan belia selaras dengan perubahan semasa, di samping memperkukuh kerjasama dalam melaksanakan agenda pembangunan belia di peringkat akar umbi.
Dalam sesi pembentangan, Dekan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Louis Ringah Kanyan menyampaikan syarahan bertajuk Peranan Belia Dalam Pembangunan Ekonomi Jingga di Malaysia, manakala pembentangan kedua disampaikan oleh Pesuruhjaya Sukan Rantau Sarawak, Azizi Johari.
Persidangan itu turut menyaksikan wakil persatuan, kelab belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan lima usul yang menyentuh pelbagai aspek pembangunan, pemerkasaan dan kebajikan belia di Bahagian Serian untuk diperhalusi di peringkat seterusnya.
Dalam ucapannya, Mackos merakamkan penghargaan kepada semua jabatan, agensi dan pertubuhan belia yang memberikan komitmen sepanjang persidangan.
Beliau berkata, setiap cadangan dan usul yang dikemukakan akan diteliti sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi bagi tindakan susulan.
Menurut beliau, penglibatan aktif pertubuhan belia dalam menyampaikan pandangan, idea dan cadangan amat penting bagi memperkukuh agenda pembangunan belia serta menyokong kemajuan Bahagian Serian secara menyeluruh.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Lamat Nyalau, Dekan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif UNIMAS Dr. Louis Ringah Kanyan, Pesuruhjaya Sukan Rantau Sarawak Azizi Johari, Pengerusi persatuan dan kelab belia serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).-EDISI UKAS