Pendidikan Asas Lahirkan Generasi Berilmu dan Berakhlak Mulia
SARIKEI : Pendidikan merupakan asas penting dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata Kem Perkembangan Murid Sekolah Rendah 2026 bukan sahaja membantu murid menambah ilmu, malah membina keyakinan diri, semangat bekerjasama dan kemahiran berfikir.
“Pendidikan bukan sekadar belajar di dalam kelas, tetapi juga membentuk sahsiah, disiplin dan keyakinan diri untuk menghadapi masa depan.
“Saya berharap pengalaman sepanjang kem ini dapat menjadi kenangan yang bermakna dan memberi semangat kepada semua peserta untuk terus belajar dan berusaha mencapai kejayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kem Perkembangan Murid Sekolah Rendah 2026 di Sekolah Menengah Ming Lik di sini pada Ahad.
Menurut beliau, pelbagai aktiviti yang diadakan sepanjang dua hari kem memberi peluang kepada para peserta mempelajari perkara baharu, menghargai bahasa ibunda serta mengenali budaya sendiri.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sarikei itu menegaskan akan terus mendapatkan peruntukan kerajaan bagi menaiktaraf kemudahan sekolah, termasuk sekolah menengah Cina dan sekolah rendah Cina di Sarikei.
“Saya akan berusaha untuk terus menyalurkan pelbagai peruntukan untuk menaiktaraf sekolah, membangunkan infrastruktur, membaiki jalan raya serta menyokong pembangunan agama dan kebudayaan demi kesejahteraan rakyat di Sarikei dan Meradong,” ujarnya.
Pada majlis yang sama, Dato’ Sri Huang telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Sekolah Menengah Ming Lik sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan di sekolah tersebut.-EDISI UKAS