Sarikei Jadi Medan Interaksi Kerajaan-Rakyat Menerusi Program Sarawakku Sayang 2026
SARIKEI: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sarikei bakal menjadi medan interaksi secara langsung antara kerajaan dan rakyat menerusi pelbagai perkhidmatan, inisiatif serta aktiviti yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Sarikei dari 7 hingga 9 Ogos ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, penganjuran program tersebut merupakan platform penting bagi membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat, penjelasan dan pelbagai perkhidmatan kerajaan secara terus di bawah satu bumbung.
Menurut beliau, sebanyak 45 kementerian, jabatan dan agensi kerajaan akan mengambil bahagian dengan menawarkan 141 jenis perkhidmatan kepada pengunjung sepanjang tiga hari program berlangsung.
“Program ini diwujudkan bagi merapatkan jurang antara kerajaan dengan rakyat melalui penyampaian maklumat dan perkhidmatan secara terus.
“Kami mengalu-alukan kehadiran masyarakat dari Sarikei serta bahagian berhampiran untuk memanfaatkan pelbagai kemudahan yang disediakan sepanjang program berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Akhir Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Sarikei di Kompleks Sukan Sarikei, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, antara inisiatif yang akan diketengahkan sepanjang program ialah Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), JobSarawak, program pembangunan usahawan, bantuan kebajikan, pendidikan serta maklumat berkaitan projek pembangunan di Bahagian Sarikei.
Dalam usaha membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia, program tersebut turut menyediakan sesi temu duga terbuka bersama majikan yang mengambil bahagian selain pengambilan anggota Askar Wataniah.
Pada masa sama, Sarikei Kitchen and Sales akan menghimpunkan usahawan tempatan bagi mempromosikan pelbagai makanan tradisional serta produk keluaran tempatan, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi komuniti.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan termasuk Fun Run, Fun Walk, senamrobik, sukan rakyat, pertandingan e-sukan, aktiviti kanak-kanak, demonstrasi masakan serta pelbagai pertandingan interaktif bagi menggalakkan penyertaan semua lapisan masyarakat.
Mengulas mengenai acara kemuncak, beliau berkata Malam Budaya Sarawak akan berlangsung pada 7 Ogos dengan menampilkan persembahan kebudayaan pelbagai kaum, manakala Konsert Rakyat pada 8 Ogos bakal diserikan dengan persembahan artis tempatan dan tanah air.
Majlis perasmian rasmi Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Sarikei pula dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 8 Ogos.-EDISI UKAS