MIRI: Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 Peringkat Daerah Subis berlangsung meriah menerusi pelbagai aktiviti yang bertujuan menghargai jasa dan sumbangan wanita dalam perkhidmatan awam.
Bertemakan ‘Sarawak Women in Digital Economy’, sambutan itu turut menjadi platform untuk mengiktiraf peranan wanita sebagai pemacu pembangunan negeri, khususnya dalam mendepani era pendigitalan dan inovasi.
Pegawai Daerah Subis, Ashard Samshu dalam ucapannya menyeru golongan wanita untuk terus memperkukuh peranan sebagai pemacu pembangunan negeri, khususnya dalam mendepani perubahan teknologi, pendigitalan dan inovasi.
“Wanita juga perlu terus mengekalkan nilai kesabaran, ketabahan, kekuatan dan amanah dalam menggalas tanggungjawab sebagai penjawat awam,” katanya.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Wanita 2026 kepada seluruh warga kerja dan berharap agar semua wanita terus dikurniakan kesihatan yang baik serta kekal sabar, kuat dan beramanah dalam menggalas tanggungjawab sebagai penjawat awam.
Sambutan yang berlangsung di Pejabat Daerah Subis pada Ahad itu turut dimeriahkan dengan sesi memotong kek sebagai simbolik, aktiviti senamrobik, permainan individu dan berkumpulan yang berjaya mewujudkan suasana ceria serta mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan pelbagai agensi.
Para peserta turut mengikuti siaran langsung Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 secara atas talian yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sebelum majlis diteruskan dengan sesi cabutan bertuah dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan. -EDISI UKAS