SAREX Level 3 Perkukuh Kesiapsiagaan Operasi Carilamat di Perairan Sarawak
MUKAH: Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) Level 3 Mukah 2026 menghimpunkan hampir 160 peserta daripada 20 agensi kerajaan, jabatan serta sektor swasta bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) di perairan Sarawak.
Latihan yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Ogos itu menjadi platform menguji keupayaan tindak balas pelbagai agensi dalam menghadapi insiden kecemasan maritim menerusi penyelarasan operasi yang lebih bersepadu, pantas dan berkesan.
Timbalan Pengarah Operasi Negeri Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kapten Maritim Simon Templer Tusa berkata, penganjuran latihan berkenaan turut memperkukuh persefahaman, koordinasi dan kerjasama strategik antara semua agensi yang terlibat dalam operasi Carilamat.
“Penganjuran latihan ini menjadi platform untuk mempertingkat persefahaman, memperkukuh penyelarasan serta mengeratkan hubungan kerjasama antara Maritim Malaysia dengan semua agensi dan jabatan yang terlibat, khususnya di perairan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan SAREX Level 3 di Menara Pehin Setia Raja, pada Selasa.
Menurut beliau, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh peranannya sebagai agensi peneraju operasi mencari dan menyelamat maritim negara melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi bagi memastikan setiap operasi kecemasan dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan.
Katanya, tanggungjawab tersebut bukan sahaja penting dalam menjamin keselamatan perairan negara, malah memenuhi komitmen Malaysia sebagai negara anggota Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).
Beliau menegaskan, mekanisme kerjasama yang tersusun antara semua agensi penyelamat perlu terus diperkasakan bagi mengoptimumkan penggunaan aset, kepakaran dan sumber manusia dalam menghadapi sebarang insiden di laut.
Harapannya agar latihan seumpama itu dapat diteruskan sebagai platform perkongsian kepakaran, pengalaman dan amalan terbaik ke arah mempertingkat keupayaan operasi mencari dan menyelamat di negara ini.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Residen Bahagian Mukah, Ibu Pejabat Maritim Zon Bintulu, Pusat Khidmat Parlimen Mukah serta semua agensi yang menjayakan penganjuran latihan berkenaan.
Turut hadir Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak, Mohammad Hafizie Putit, Timbalan Pengarah Maritim Zon Operasi, Komander Maritim Nicholas Jugah Sanji serta Pegawai Perubatan Hospital Bahagian Mukah, Dr. Nazatul Ashikin Taher.-EDISI UKAS