Projek Bekalan Air Jangka Panjang Dijangka Perkukuh Sistem Bekalan Air Simunjan
SIMUNJAN: Pelaksanaan beberapa projek infrastruktur bekalan air yang sedang dan bakal dilaksanakan dijangka memperkukuh sistem bekalan air di daerah Simunjan serta menyelesaikan isu bekalan air secara menyeluruh dalam jangka masa panjang.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan Tangki Aras Tinggi Kampung Hijrah berkapasiti tiga juta liter sehari (MLD) yang kini mencapai kemajuan sebanyak 31 peratus dan dijangka siap pada Ogos 2027.
"Projek ini merupakan antara usaha yang sedang dilaksanakan bagi memperkukuh sistem bekalan air di Simunjan dan memastikan keperluan penduduk dapat dipenuhi dengan lebih baik pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Simunjan serta menghadiri perbincangan berkaitan isu gangguan bekalan air di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Simunjan.
Tambahnya, selain projek tersebut, pelaksanaan Serian Regional Water Supply Phase 3 (Stage 2) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dijangka bermula pada suku pertama 2027.
Menurutnya, apabila projek ini dilaksanakan kelak, ia dijangka mampu membekalkan lebih 10 MLD air terawat dan sekali gus membantu menyelesaikan isu bekalan air di Simunjan secara lebih menyeluruh dalam jangka masa panjang.
Dalam pada itu, Rodiyah berkata, penyelesaian isu bekalan air di Simunjan memerlukan pendekatan secara berperingkat, melibatkan tindakan segera bagi memenuhi keperluan semasa serta pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar untuk memastikan bekalan air yang lebih stabil dan berdaya tahan pada masa hadapan.
"Usaha menangani isu bekalan air ini bukan sahaja melibatkan penyelesaian untuk keperluan semasa, tetapi juga perancangan jangka panjang supaya penduduk Simunjan dapat menikmati bekalan air yang lebih stabil dan mencukupi," jelasnya.
Dalam pada itu, Jurutera Air Bahagian JBALB Samarahan, Ts. Azahari Baini berkata, usaha memperkukuh sistem bekalan air di Simunjan turut melibatkan pelaksanaan projek penggantian paip di Sungai Lingkau.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaan projek berkenaan berdepan halangan berkaitan laluan kerja (wayleave) susulan isu tanah yang boleh menjejaskan kelancaran kerja-kerja penggantian paip.
Justeru katanya, JBALB memerlukan kerjasama daripada penduduk setempat supaya laluan kerja yang diperlukan tidak dihalang bagi memastikan kerja-kerja penggantian paip dapat dilaksanakan dengan lancar.
"Kita faham isu tanah merupakan perkara yang sensitif, namun pada masa yang sama, kerjasama semua pihak amat diperlukan supaya projek ini dapat dilaksanakan dan manfaat bekalan air terawat dapat dinikmati oleh lebih ramai penduduk," katanya.
Turut hadir dalam perbincangan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, serta Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad. -EDISI UKAS