Kemudahan Hentian Rehat & Rawat Perlu Diperkasa, Sokong Keselamatan Pengguna Jalan Raya
JELUKONG: Keperluan memperkukuh kemudahan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo terus diberi perhatian bagi memastikan pengguna jalan raya menikmati perjalanan yang lebih selamat, selesa dan efisien.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin menegaskan, pembangunan R&R yang mencukupi adalah penting memandangkan lebuh raya berkenaan merupakan laluan utama pengangkutan darat di Sarawak yang menyokong pergerakan logistik serta mobiliti rakyat.
Menurut beliau, kemudahan R&R dan kawasan hentian sementara (layby) bukan sahaja berfungsi sebagai tempat rehat, malah memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko kemalangan jalan raya akibat keletihan pemandu.
Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan ke kawasan R&R Jelukong di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan semua pengguna jalan raya agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan R&R dengan mengambil rehat secukupnya, khususnya bagi perjalanan jarak jauh.
“Keletihan pemandu merupakan antara faktor penyumbang kepada kemalangan, terutama bagi perjalanan jauh. Justeru, berhenti dan berehat seketika mampu membantu mengelakkan risiko kemalangan serta memastikan perjalanan lebih selamat,” jelasnya.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau turut diberi taklimat oleh pegawai Jabatan Kerja Raya Sarawak mengenai kemudahan sedia ada, aspek penyelenggaraan serta operasi di kawasan berkenaan.
Selain meninjau susun atur dan fasiliti yang disediakan, beliau turut bertukar pandangan dengan pihak berkaitan berhubung cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan keselesaan, kemudahan dan keselamatan pengguna.
Lawatan itu merupakan susulan kepada sesi libat urus Kementerian Pengangkutan Sarawak bersama pemain industri pengangkutan berkaitan perancangan serta penambahbaikan kemudahan R&R dan layby di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan kementeriannya akan terus bekerjasama rapat dengan JKR Sarawak serta agensi berkaitan bagi memastikan semua kemudahan R&R sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan berfungsi dengan optimum demi kesejahteraan pengguna jalan raya di negeri ini.-EDISI UKAS