Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026 Masuki Fasa Akhir
KAPIT: Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026 kini memasuki fasa akhir apabila Jawatankuasa Induk memperkemaskan penyelarasan di beberapa lokasi utama penganjuran bagi memastikan sambutan yang dijadual berlangsung pada 30 hingga 31 Ogos berjalan lancar.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom mengetuai lawatan tapak ke Kapit Town Square, Perkarangan Dewan Suarah Kapit dan Kapit Lily Pond pada Selasa.
Lawatan tersebut bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan setiap lokasi, termasuk aspek logistik, penyelarasan program, kemudahan awam, keselamatan serta keperluan teknikal bagi memastikan semua pengisian sambutan dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026 akan menampilkan beberapa acara utama termasuk Ambang Hari Kebangsaan, Unity Walk dan Perhimpunan Hari Kebangsaan, yang dijangka menghimpunkan kepimpinan tertinggi negeri bersama rakyat dari seluruh Sarawak.
Lawatan berkenaan turut menjadi platform penyelarasan akhir antara kementerian, jabatan dan agensi yang terlibat bagi memuktamadkan aspek pelaksanaan serta memastikan setiap persediaan memenuhi perancangan yang telah ditetapkan.
Penganjuran sambutan di Kapit dijangka menjadi platform menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat menerusi penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Turut menyertai lawatan ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan), Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Pelabuhan), Datuk Majang Renggi serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat.-EDISI UKAS