Kapit Tumpuan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026
KAPIT: Bahagian Kapit bakal menjadi tumpuan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026 yang akan berlangsung pada 30 hingga 31 Ogos dengan pelbagai acara rasmi bagi menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta mengukuhkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, sambutan itu dijangka menghimpunkan kepimpinan tertinggi negeri bersama rakyat dari seluruh Bahagian Kapit dan kawasan sekitarnya.
Menurut beliau, sambutan tersebut akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
“Sambutan ini bukan sekadar meraikan Hari Kebangsaan, malah menjadi wadah memperkukuh semangat muafakat, menyemarakkan patriotisme serta menghargai jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu dalam membina negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026 di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Kapit, pada Selasa.
Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, tiga acara utama akan menjadi pengisian sambutan iaitu Ambang Hari Kebangsaan di Kapit Town Square pada 30 Ogos, diikuti Unity Walk dan Perhimpunan Hari
Kebangsaan pada 31 Ogos.
Katanya, pengisian tersebut dijangka
menghimpunkan penyertaan masyarakat pelbagai lapisan sebagai simbol perpaduan dan kebersamaan dalam menyambut Hari Kebangsaan.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat, khususnya penduduk Bahagian Kapit dan kawasan sekitarnya, untuk bersama-sama memeriahkan sambutan berkenaan sebagai manifestasi semangat patriotisme, perpaduan dan cintakan negara.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak), Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan), Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Pelabuhan), Datuk Majang Renggi serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat.-EDISI UKAS