Naik Taraf Infrastruktur SMK St. Columba Perkukuh Persekitaran Pembelajaran
MIRI: Usaha menaik taraf kemudahan pendidikan terus diperkasa menerusi pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Columba, di sini, pada Selasa.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata penambahbaikan infrastruktur sekolah adalah penting dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada pelajar.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak serta menyempurnakan simbolik penyerahan projek RTP yang telah siap dilaksanakan di SMK St. Columba Miri.
Projek berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM200,000 yang memberi tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf gelanggang bola keranjang sedia ada termasuk mengecat semula, pemasangan tiang serta papan belakang baharu, selain pembinaan sistem saliran dan kemudahan sokongan lain.
Selain naik taraf gelanggang sukan, projek RTP turut merangkumi pemasangan jubin di bilik RPT, pembinaan bilik orkestra baharu serta pembinaan kawasan parkir konkrit bagi kegunaan warga sekolah.
Dalam pada itu, satu lagi inisiatif turut dilaksanakan melalui penyerahan 36 unit televisyen pintar (Smart TV) kepada pihak sekolah yang ditempatkan di bilik ERT sebagai sokongan kepada keperluan pembelajaran digital.
Sumbangan tersebut merupakan hasil kerjasama antara ADUN N.73 Piasau, Lembaga Pengurus Sekolah, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Menurut pihak sekolah, kemudahan berkenaan dijangka memberi impak positif terhadap landskap pendidikan moden serta membantu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan bahawa sejak tahun 2016, sebanyak RM650,000 peruntukan RTP telah disalurkan kepada SMK St. Columba bagi pelbagai projek pembangunan dan penambahbaikan kemudahan sekolah.
Turut hadir, Pengetua SMK St. Columba Miri Jimbun Masam, Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah Simon Ilus, Yang Dipertua PIBG Paul Ting Ing Ming, Pegawai Khas kepada ADUN Piasau Chia Kah Furng serta Kaunselor Leslie Lau.-EDISI UKAS