Kerajaan Sarawak Rangka Tiga Langkah Segera Tangani Isu Bekalan Air Simunjan
SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sedang merangka tiga langkah segera bagi menangani isu gangguan bekalan air di daerah Simunjan susulan paras air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Simunjan yang kini berada pada tahap kritikal.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, hasil lawatan kerja ke LRA Simunjan serta perbincangan bersama agensi berkaitan mendapati paras air mentah di loji berkenaan berada di bawah satu meter berikutan cuaca kering yang menyebabkan takungan dipenuhi tanah dan pasir.
Menurutnya, keperluan bekalan air harian bagi daerah Simunjan adalah sebanyak 10 juta liter sehari (MLD), namun ketika ini hanya sekitar 4.5 hingga 5 MLD dapat disalurkan menerusi sistem bekalan air Sarawak Water dan Serian sebagai langkah sokongan.
"Walaupun bekalan sedia ada masih belum mencapai 10 MLD, jumlah sekitar 5 MLD ini dilihat mencukupi untuk memenuhi keperluan asas harian penduduk buat masa ini sementara menunggu keadaan kembali pulih," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Simunjan dan menghadiri perbincangan mengenai isu gangguan bekalan air di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Simunjan, pada Selasa.
Bagi memastikan bekalan air dapat dipertingkatkan, Rodiyah berkata, tiga permohonan utama telah dikemukakan kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta JBALB.
Antaranya ialah pembinaan tangki air aras tinggi (high-level water tank) tambahan bagi Zon 3 Sungai Apin, melibatkan kawasan dari Kampung Selangking hingga Kampung Sungai Apin serta kawasan Simunjan Proper.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya kerja-kerja pendalaman dan pengorekan semula takungan di LRA Simunjan dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti simpanan air mentah.
Tambahnya, cadangan ketiga pula melibatkan pembinaan stesen penggalak (booster station) atau pelaksanaan sistem bekalan air akut (Acute Water Supply System) seperti yang dilaksanakan di Sebuyau.
"Langkah-langkah tersebut penting bagi membantu meningkatkan keupayaan sistem bekalan air di Simunjan, khususnya dalam menghadapi keadaan paras air mentah yang kritikal," tegas beliau.
Turut hadir dalam lawatan dan perbincangan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, Jurutera Air Bahagian, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Samarahan, Ts. Adzahari Baini serta Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad. -EDISI UKAS