Kiraan Detik Setahun Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak Dilancar 18 September Ini
KUCHING: Kehangatan temasya Sukan SEA 2027 (Kluster Sarawak) kian terasa apabila Sarawak LOC Secretariat bakal melancarkan majlis kiraan detik setahun kejohanan dwitahunan itu pada 18 September ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) yang juga Pengerusi Sarawak LOC Secretariat, Datu Hii Chang Kee berkata penganjuran Majlis Road To One Year Countdown SEA Game 2027 itu diadakan bagi mewujudkan rasa keterujaan terhadap penganjuran sulung temasya itu di Bumi Kenyalang dari 18 hingga 29 September 2027 nanti.
“Majlis ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran terhadap orang ramai bahawa Sarawak akan menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027.
"Melalui majlis itu nanti, kita mahu masyarakat tahu mengenai penganjuran Sukan SEA 2027, jenis dan jumlah sukan yang dipertandingkan,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat mengenai majlis itu di sini pada Selasa.
Menurut beliau, perasmain majlis gilang gemilang itu dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dengan kehadiran dif-dif kenamaan lain di venue yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Selain pelancaran kiraan detik, Premier Sarawak juga akan diberi penghormatan untuk melancarkan laman web rasmi Sukan SEA 2027 (Kluster Sarawak).
Laman web tersebut dibangunkan untuk menyokong peranan Sarawak sebagai kluster tuan rumah Sukan SEA dengan mewujudkan platform digital berpusat yang mempromosikan negeri ini sebagai destinasi utama untuk sukan, pelancongan dan budaya.
Ia akan berfungsi sebagai sumber maklumat rasmi untuk penonton tempatan dan antarabangsa, menyediakan butiran komprehensif tentang acara Sukan SEA yang dianjurkan di Sarawak termasuk sukan, jadual pertandingan, tempat, negara peserta dan maklumat berkaitan yang lain.
Sukan SEA ke-34 akan mempertandingkan sejumlah 43 jenis sukan dengan Sarawak akan menganjurkan 18 jenis sukan termasuk sebagai venue perasmian yang akan diadakan di Stadium Sarawak.
Selain Sarawak, Kuala Lumpur akan menganjurkan 18 jenis sukan termasuk majlis penutupan, manakala Pulau Pinang menganjurkan enam jenis sukan dan Johor satu sukan. - EDISI UKAS