KMKK Diseru Perkukuh Peranan, Fahami Prosedur Pendaftaran Anak Angkat
SERIAN: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diseru agar terus memperkukuh peranan sebagai jambatan antara kerajaan dan masyarakat dengan memahami prosedur pendaftaran anak angkat bagi memastikan setiap urusan dilaksanakan mengikut peraturan serta menjaga kebajikan dan hak kanak-kanak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pengurusan pendaftaran anak angkat merupakan perkara yang amat penting kerana melibatkan masa depan, kebajikan dan hak kanak-kanak.
Menurutnya, setiap prosedur yang ditetapkan perlu dipatuhi bagi memastikan proses pengambilan anak angkat dilaksanakan mengikut undang-undang serta melindungi kepentingan semua pihak yang terlibat.
"Jika terdapat perkara yang kurang jelas, jangan malu atau takut untuk bertanya kepada pegawai daerah atau agensi berkaitan.
“Lebih baik bertanya daripada membuat andaian yang akhirnya membawa kepada kesilapan," katanya ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Taklimat Prosedur Pendaftaran Anak Angkat Peringkat Bahagian Serian 2026 di Dewan Panggah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Bahagian Serian), pada Selasa.
Beliau dalam pada itu mengingatkan peserta mengenai kepentingan memastikan setiap urusan dokumentasi dan pendaftaran dibuat dengan tepat bagi menjamin status serta hak anak-anak, termasuk kelayakan menikmati pelbagai manfaat dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.
Program yang dihadiri seramai 125 peserta terdiri daripada KMKK dari seluruh Bahagian Serian itu bertujuan memberi pendedahan mengenai prosedur dan syarat pendaftaran anak angkat, di samping meningkatkan kefahaman terhadap peranan mereka dalam membantu masyarakat menguruskan permohonan berkaitan.
Dato Sri Roland berharap ilmu yang diperoleh sepanjang program perlu dikongsikan dengan masyarakat di peringkat kampung agar lebih ramai penduduk memahami prosedur yang betul berkaitan pendaftaran anak angkat.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Serian Mackos Sibong, Pegawai Daerah Serian Inting Nyami, Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar serta Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari. -EDISI UKAS